Manfaat sebaiknya bantuan k’jaan

0

BANTUAN: Liwan menyampaikan Bantuan Khas Awal Persekolahan kepada salah seorang pelajar SSeMK sambil diperhatikan Dr Sluhi (kanan), semalam.

KUCHING: Setiap pelajar sepatutnya berusaha mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran sekali gus mencerahkan masa depan mereka kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan untuk membantu golongan tersebut.

Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Liwan Lagang berkata, bantuan yang disediakan itu perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin agar tidak lagi timbul sebarang masalah untuk belajar.

“Guna peluang (bantuan) ini dengan sebaik mungkin untuk balas balik usaha murni kerajaan.

“Tiada perkara lain yang dapat mengembirakan kerajaan, ibu bapa dan guru selain melihat setiap pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan 2013 Sekolah Seni Malaysia Kuching (SSeMK) semalam.

Liwan berkata, semua ibu bapa mempunyai impian untuk melihat anak mereka mempunyai masa depan cerah, justeru setiap pelajar harus bijak untuk merangka kehidupan agar dapat bersaing dalam dunia yang semakin mencabar sekarang.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, namun apa yang penting adalah kita (pelajar) perlu bersedia dari sekarang agar mudah untuk bersaing dengan orang lain,” ujarnya sambil menambah acara dan aktiviti sekolah dekat di hatinya kerana beliau merupakan bekas guru.

Beliau menambah, tidak ada negara lain yang prihatin seperti Malaysia terutama dalam memberikan bantuan kepada setiap lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah.

“Jika ada sekali pun (negara yang beri bantuan) mungkin tidak banyak dan tidak sama seperti yang diberikan kerajaan di negara ini,” jelasnya.

Sementara itu, Pengetua SSeMK Dr Sluhi Lamat berkata, bukan mudah untuk setiap negara memberi bantuan kewangan kepada pelajar, justeru setiap pelajar mesti membalasnya dengan tindakan yang baik.

“Kalau pelajar tidak memberikan yang terbaik, maka sia-sialah bantuan ini,” kata Dr Sluhi.

Seramai 270 pelajar SSeMK menerima Bantuan Khas Awal Persekolahan 2013 berjumlah RM100 pada majlis tersebut.