Kalimah Allah dalam Alkitab wajar

1

DOMPOK menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada Kimilin Jiniwan, 75, (tengah) di majlis itu, turut kelihatan Ahli Dewan Undangan Negeri Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin.

PENAMPANG: Adalah wajar penganut agama Kristian menggunakan Kalimah Allah dalam Alkitab berdasarkan sejarah dan persetujuan daripada kerajaan.

Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Tan Sri Bernard Dompok berkata sebelum lahirnya Malaysia atau sebelum tahun 1963, Kalimah Allah sudahpun digunakan di Borneo Utara dan juga negeri Sarawak.

“Contohnya gereja di Sabah, sekiranya gereja itu menggunakan bahasa Kadazandusun, mereka akan menggunakan istilah ‘Kinoingan’, dalam bahasa Inggeris mereka akan guna ‘God’ tetapi perlu ingat gereja yang menggunakan Bahasa Melayu memang menggunakan Allah atau Tuhan Allah.

“Saya sendiri pernah dengar masyarakat di sini mengunakan Tuhan Allah ketika sembayang di dalam gereja berbahasa Melayu sebelum tahun 1963,” katanya pada majlis bersama rakyat di Kampung Terawi di sini pada malam Ahad lalu.

Dompok berkata, antara sebab lain Kalimah Allah dibenarkan dalam Alkitab adalah istilah itu juga digunakan oleh gereja yang terdapat di Indonesia.

Katanya, perkara penting yang perlu diketahui, Kalimah Allah juga digunakan oleh para penganut Kristian di negara Arab. Oleh itu, tidak ada sebab mengapa ianya tidak dapat digunakan di Malaysia.

“Selain itu, penggunaan Kalimah Allah juga sudah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur. Dengan persetujuan itu, tiada sebab mengapa ia tidak boleh digunakan oleh penganut Kristian.

“Perkara ini sebenarnya sudah diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan apabila kerajaan sendiri membenarkan pengimportan Alkitab dari Indonesia pada tahun 2011.

“Persetujuan itu juga melibatkan proses percetakan semula kitab suci itu di sini untuk diedarkan kepada para penganut agama Kristian.

“Adakah wajar kita mengatakan penggunaan Kalimah Allah tidak dibenarkan walaupun kerajaan sendii telah membenarkan pengimportan dan pencetakan semula Alkitab daripada Indonesia,” katanya.

Dompok yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang tidak tepat dan hanya mencari peluang untuk mendapatkan undi daripada rakyat apabila pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.

Beliau menyifatkan tindakan itu adalah amat tidak bertanggungjawab dan boleh mencetuskan perbalahan dalam kalangan rakyat seperti perpecahan yang berlaku di antara komponen Pakatan Rakyat.

“Perpecahan itu dapat dilihat apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang muncul dalam satu sidang media yang bersetuju Kalimah Allah digunakan oleh penganut Kristian.

“Namun beberapa hari kemudian, Majlis Syura Pas mengeluarkan kenyataan sebaliknya dan meminta pemimpin Pas menarik balik pendirian itu dan Pas kemudian menarik balik persetujuan itu.

“Ini menunjukkan Pas terdesak untuk mendapatkan sokongan daripada penyokong mereka di Kelantan dan negeri-negeri yang lain dalam usaha ingin menjadikan Malaysia sebagai negara Islam.

“Inilah tujuan utama Pas, mereka mahukan negara Islam serupa dengan negara Pakistan…mereka mahu undang-undang Islam berleluasa di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan rakyat bahawa tujuan Pas adalah tidak baik dan tidak sihat untuk diamalkan oleh Malaysia yang kini mengamalkan dasar sekular.

Dompok yang Ahli Parlimen Penampang menegaskan bahawa Pas kini hanya menunggu majoriti dua pertiga di Parlimen untuk membenarkan mereka menggubah perlembagaan untuk meluluskan undang-undang Islam seperti Hudud dan lain-lain.

Katanya, sudah tentunya rakyat Malaysia, khususnya di Sabah tidak mahu tukar kerajaan kerana BN bersedia untuk melakukan pelbagai tranformasi.

“Sebagai contoh, kerajaan mengambil tindakan yang berani untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengetahui keadaan dan mencari penyelesaian.

“Selain itu, pelbagai transformasi berjaya dilakukan untuk kemakmuran ekonomi Malaysia dan memberikan peluang rakyat menikmati kesejahteraan ekonomi itu,” katanya.

Dompok juga mengecam ugutan yang dikeluarkan oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang ingin membakar Alkitab bahasa Melayu yang menggunakan Kalimah Allah.

“Saya difahamkan Perkasa kini sedar akan kesilapan mereka dan kini mereka tidak menggalakkan lagi perbuatan demikian.

“Saya rasa semua rakyat Malaysia yang mempunyai pemikiran yang logik harus mengecam akan tindakan sedemikian sebab perkara itu tidak semestinya wujud di Malaysia.

“Mengapa mahu membakar kitab agama orang lain berdasarkan hanya terdapat istilah yang tidak disukai terdapat dalam kitab itu?

“Walaupun anda membakarnya, anda tetap tidak dapat membakar istilah Kalimah Allah yang sudah terpahat dalam hati setiap penganutnya…perbuatan mereka ini sememangnya tidak masuk akal,” katanya.