Peniaga ikan masin disyaki mati dibunuh

0

SEMPORNA: Seorang peniaga ikan masin disyaki mati dibunuh selepas pihak polis menemuinya dalam keadaan berlumuran darah serta terdapat kesan tetakan di bahagian tengkuk, muka dan lengan kanannya pada awal pagi Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata mangsa dikenali sebagai Hj Mansor Sideh, 52, beralamat di Taman Megah Jaya, Tawau dan telah dikenalpasti oleh isterinya.

“Pihak polis menerima makluman awam sekitar jam 1 pagi berhubung kehadiran sebuah kenderaan yang diparkir di sebuah kebun kelapa sawit dan berada di belakang rumah pengadu di Kg Kuala Bibang (kira-kira 25 kilometer dari Pekan Semporna),” katanya.

Firdaus berkata, susulan daripada maklumat itu, pihak polis terus bergegas ke lokasi terbabit sebelum mendapati mangsa yang berada di kerusi pemandu kereta berkenaan telahpun meninggal dunia.

Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut pihak polis tidak menemui sebarang dompet ataupun dokumen pengenalan diri mangsa serta senjata yang disyaki digunakan hingga mengakibatkan kematian mangsa dalam insiden terbabit.

“Melalui semakan terhadap nombor pendaftaran kenderaan yang dinaiki oleh mangsa, pihak polis telah dapat mengenalpasti identiti pemiliknya dan turut menghubungi isteri mangsa agar tampil membuat pengecaman mayat mangsa,” katanya di sini kelmarin.

Menurutnya, isteri mangsa mengesahkan bahawa lelaki terbabit adalah suaminya dan turut menyatakan kali terakhir mereka bersama adalah pada Jumaat lepas kira-kira jam 1 petang di Tawau sebelum mangsa bertolak ke Semporna atas urusan membeli rumpai laut.

Beliau berkata, pakar patologi dari Kota Kinabalu dijangka menjalankan bedah-siasat ke atas mayat mangsa pada Selasa (hari ini) dan siasatan terperinci di lokasi kejadian pula dikendalikan oleh pasukan forensik dari Kepayan.

“Sehubungan itu, kita juga menyeru orang ramai ataupun saksi kejadian yang mengetahui tentang hal ini agar menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis ataupun menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Zairolnizal Ishak di 089-781222,” katanya.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.