
BINCANG: Pau berbincang dengan bekas pekerja yang melakukan protes secara aman di jalan masuk ke SIP di Bintulu semalam. Turut kelihatan Madang (tengah) yang bergegas ke tempat kejadian bagi memantau keadaan.
Adakan protes aman bantah tindakan majikan tamatkan perkhidmatan mereka tanpa alasan munasabah
BINTULU: Kira-kira 100 orang bekas pekerja di salah sebuah syarikat kontraktor di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) di sini, pagi semalam mengadakan protes secara aman bagi membantah tindakan majikan menamatkan perkhidmatan mereka tanpa alasan yang munasabah.
Menurut sumber, bekas pekerja terbabit merupakan warga tempatan yang perkhidmatan mereka dihentikan tanpa notis oleh syarikat kontraktor terbabit.
Mereka mengadakan protes di hadapan jalan masuk utama menuju ke tapak projek di SIP bermula seawal jam 5.30 pagi semalam.
Dalam pada itu, rata-rata bekas pekerja itu mendakwa bahawa perkhidmatan mereka ditamatkan kerana digantikan dengan pekerja asing yang diambil bekerja oleh syarikat kontraktor terbabit.
Pada masa sama, para pekerja turut melahirkan kesal terhadap bekas majikan mereka yang tidak mengambil berat soal kebajikan pekerja tempatan selain tidak diberikan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan masalah gaji hari yang diterima dipotong dari RM18 sehari hingga ke RM8 sehari (paling rendah).
Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Madang Usat bersama 20 anggotanya telah tiba di lokasi kejadian sekitar jam 8.30 pagi bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Ketika ditemui, Madang berkata pihaknya akan terus melakukan pemantauan serta berkawal di lokasi kejadian bagi memastikan tiada berlaku rusuhan dan sekatan sebagaimana yang berlaku sebelum ini bagi memudahkan pergerakan pekerja sama ada yang ingin menuju ke SIP atau dari SIP menuju ke bandar Bintulu.
“Apa yang pasti, kami akan memastikan keadaan di sini berada dalam keadaan terkawal dan akan mengerahkan lebih ramai anggota memantau keadaan sekiranya perlu berbuat demikian,” katanya.
Madang memberikan jaminan bahawa keadaan adalah terkawal dan tiada kejadian tidak diingini berlaku memandangkan semua pekerja terbabit melakukan protes secara aman.
Ahli Dewan Negara Senator Pau Chiong Ung yang ditemui melahirkan kekecewaan terhadap sikap majikan yang tidak berada di situ ketika para pekerja menuntut hak serta ingin berbincang dengan mereka akan permasalahan yang melanda.
“Sepatutnya pihak pengurusan syarikat kontraktor terbabit bersedia membantu serta berbincang secara baik dengan para pekerja di bawah kendalian mereka dalam setiap isu yang melanda bagi mengelakkan kejadian sebegini daripada berlaku,” katanya.