100 pekerja protes setelah diberhentikan kerja

0

BINCANG: Pau berbincang dengan bekas pekerja yang melakukan protes secara aman di jalan masuk ke SIP di Bintulu semalam. Turut kelihatan Madang (tengah) yang bergegas ke tempat kejadian bagi memantau keadaan.

Adakan protes aman bantah tindakan majikan tamatkan perkhidmatan mereka tanpa alasan munasabah

BINTULU: Kira-kira 100 orang bekas pekerja di salah sebuah syarikat kontraktor di Taman Perindustrian Sa­malaju (SIP) di sini, pagi se­malam mengadakan protes secara aman bagi mem­bantah tindakan majikan menamatkan perkhidmatan mereka tanpa alasan yang munasabah.

Menurut sumber, bekas pekerja terbabit merupa­kan warga tempatan yang perkhidmatan mereka dihen­tikan tanpa notis oleh syarikat kontraktor terbabit.

Mereka mengadakan protes di hadapan jalan masuk utama menuju ke tapak projek di SIP bermula seawal jam 5.30 pagi semalam.

Dalam pada itu, rata-rata bekas pekerja itu mendakwa bahawa perkhidmatan mereka ditamatkan kerana digantikan dengan pekerja asing yang diambil bekerja oleh syarikat kontraktor terbabit.

Pada masa sama, para pekerja turut melahirkan kesal terhadap bekas majikan mereka yang tidak mengambil berat soal kebajikan pekerja tempatan selain tidak diberi­kan faedah Pertubuhan Kes­elamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan masa­lah gaji hari yang diterima dipotong dari RM18 sehari hingga ke RM8 sehari (paling rendah).

Ketua Polis Daerah Bin­tulu Superitenden Madang Usat bersama 20 anggotanya telah tiba di lokasi kejadian sekitar jam 8.30 pagi bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Ketika ditemui, Madang berkata pihaknya akan terus melakukan pemantauan serta berkawal di lokasi kejadian bagi memastikan tiada ber­laku rusuhan dan sekatan sebagaimana yang berlaku se­belum ini bagi memudahkan pergerakan pekerja sama ada yang ingin menuju ke SIP atau dari SIP menuju ke bandar Bintulu.

“Apa yang pasti, kami akan memastikan keadaan di sini berada dalam keadaan terkawal dan akan menge­rahkan lebih ramai anggota memantau keadaan sekiranya perlu berbuat demikian,” katanya.

Madang memberikan jami­nan bahawa keadaan adalah terkawal dan tiada kejadian tidak diingini berlaku me­mandangkan semua pekerja terbabit melakukan protes secara aman.

Ahli Dewan Negara Senator Pau Chiong Ung yang ditemui melahirkan kekecewaan ter­hadap sikap majikan yang tidak berada di situ ketika para pekerja menuntut hak serta ingin berbincang dengan mereka akan permasalahan yang melanda.

“Sepatutnya pihak pen­gurusan syarikat kontraktor terbabit bersedia membantu serta berbincang secara baik dengan para pekerja di bawah kendalian mereka dalam setiap isu yang melanda bagi mengelakkan kejadian sebegini daripada berlaku,” katanya.