Rakyat diingatkan tidak terpedaya dengan politik remeh-temeh

0

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengingatkan rakyat negeri ini agar tidak mudah terpedaya dengan politik remeh-temeh serta usaha pihak tertentu mencerca dan memperkecilkan usaha bersama antara kerajaan dan rakyat selama ini.

Beliau berkata sebaliknya rakyat pelbagai lapisan serta latar belakang harus memfokus dan meneruskan perjuangan bersama yang dilakukan sekian lama.

“Sebagai rakyat yang mahu terus berjaya dan menikmati pembangunan, pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti rakyat patut memilih kerajaan berkeupayaan, mempunyai pengalaman dan kenangan yang begitu kuat sekali berkhidmat kepada rakyat jelata,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Medan Niaga Satok semalam yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Taib menambah, kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti mempunyai kepimpinan cukup baik dan hala tuju perjuangan yang jelas.

“Kita tidak akan terpedaya dengan agenda-agenda yang tidak betul…rakyat harus berfikir dengan sedalam-dalamnya dan terus menyokong BN pada pilihan raya nanti,” katanya.

Menyentuh mengenai pembinaan Medan Niaga Satok yang menelan belanja RM46.6 juta itu, Ketua Menteri berkata projek berkenaan merupakan satu usaha kerajaan untuk menaikkan taraf hidup rakyat.

Selain itu juga katanya, ia sebagai pendorong kepada rakyat negeri ini menceburi bidang perniagaan berasaskan produk pertanian pada masa sama mengumpul usahawan tani dari seluruh bandar raya ini di satu lokasi yang lebih selesa dan strategik.

“Kalau dulu, mereka (peniaga dan penjaja) menjual hasil tani mereka di tepi-tepi jalan atau kaki lima kedai, pada masa itu, 20 atau 30 tahun lalu keupayaan kerajaan terhad untuk menyediakan kemudahan seperti hari ini.

“Pembinaan medan niaga ini adalah hasil sokongan daripada kerajaan pusat…saya mewakili rakyat Sarawak amat terhutang budi dan berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kerana beliau mempunyai hati kecil yang sangat sensitif kepada soal membela nasib rakyat,” ujarnya.

Menurutnya lagi pembinaan projek mega seperti Medan Niaga Satok tidak dapat dilaksanakan sekiranya kerajaan BN tiada pengalaman serta rekod cemerlang selain mempunyai barisan pemimpin yang berpandangan jauh baik di peringkat negeri mahupun pusat.

Beliau menambah, pembinaan medan itu juga merupakan usaha kerajaan BN membalas kesetiaan rakyat kepada kerajaan selama ini dan berharap rakyat tidak akan melupakan jasa kerajaan selama ini apabila menjelang PRU13 nanti.

“Sarawak dan rakyat negeri ini masih bergantung kepada kerajaan, oleh itu pada pilihan raya nanti, rakyat harus memikirkan bahawa perjuangan bersama (rakyat dengan kerajaan) selama ini begitu berjaya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Kerajaan akan terus berusaha meningkatkan pendapatan rakyat menerusi perancangan dan pelaksanaan pembangunan oleh orang yang cukup berpengalaman dan kepimpinan berpandangan jauh seperti dalam kerajaan BN di peringkat pusat dan negeri.

“Tanpa semua ini, saya percaya pembangunan seperti hari ini tidak akan dikecapi,” katanya.