Rakyat Sarawak diyakini akan terus menyokong BN

0

UNTUK KENANGAN: Muhyiddin bergambar bersama ahli Society for Kuching Urban Poor (SKUP) semasa melawat Pusat Kebun Komuniti Sungai Apong, Pending semalam. — Gambar oleh Cimon Upon

Ia hasil laporan positif dalam taklimat persiapan parti komponen BN Sarawak menghadapi PRU13

KUCHING: Rakyat Sarawak diyakini terus memberi sokongan penuh kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Keyakinan itu ditegaskan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Penduduk Kampung Sungai Apong Baru, Pending di Dewan Masyarakat kampung berkenaan semalam.

Beliau memberitahu, ia ekoran daripada hasil laporan positif yang diterimanya dalam taklimat tertutup persiapan parti komponen BN Sarawak yang diadakan di sini malam kelmarin.

“Saya rasa bahawa kita (di Sarawak) masih mampu mempertahankan kedudukan kerana semalam saya mendapat laporan daripada pemimpin di peringkat negeri berkenaan situasi semasa,” katanya.

Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi BN Pusat berkata, walaupun pihak pembangkang sering memburuk-burukkan kerajaan, namun rakyat di negeri ini bijak menilainya.

“Mereka sering bawa cerita macam-macam untuk memburukkan kerajaan apabila dekat pilihan raya tapi sebelum pilihan raya mereka tidak nampak muka tetapi saya yakin penduduk di sini pandai-pandai belaka,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa pembangkang hanya datang pada musim pilihan raya sahaja untuk membuat pembohongan tetapi hilang selepas itu.

“Mereka tidak pernah datang, tidak pernah tolong, tidak pernah buat apa-apa tetapi apabila sampai masa (PRU) mereka datang untuk membuat pembohongan dan fitnah,” tegasnya.

Justeru, beliau berharap rakyat dapat kekal memberi kerjasama dengan kerajaan bagi memastikan pembangunan yang dibawa dapat diteruskan.

“Kita tidak meragui sokongan daripada kepimpinan dan rakyat di Sarawak terhadap kerajaan BN kerana kita tahu di sini sokongan (terhadap BN) amat kuat.

“Namun apa yang penting kita terus bekerjasama dan apabila kita kekal memerintah kita terus berusaha untuk memajukan negara,” ujarnya.