RISDA Kelantan tingkatkan usaha majukan usahawan wanita

0

KOTA BAHARU: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kelantan akan terus meningkatkan usaha bagi memajukan usahawan wanita dalam bidang kraf daun getah.

Pengarah Risda Kelantan Wan Ahmad Shabri Zainuddin berkata sejak 2004 hingga akhir tahun lepas, seramai 696 orang daripada keluarga pekebun kecil itu mengusahakan kraf daun getah.

Bercakap kepada Bernama pada majlis perhimpunan Pekebun Kecil Wanita peringkat negeri di sini semalam, beliau berkata mereka mendapat peruntukan sehingga RM20,000 seorang bagi melaksanakan projek tersebut.

Majlis itu disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan turut dihadiri Ketua Pengarah Risda Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad.

Wan Ahmad Shabri berkata menerusi aktiviti ekonomi itu, setiap pengusaha mampu meraih pendapatan hampir RM5,000 sebulan.

Beliau berkata mereka mengusahakan produk itu di tapak semaian untuk memproses daun getah sambil membantu tugas suami yang menjalankan kerja sebagai penoreh getah.

Sementara itu, seorang tokoh usahawan wanita Risda Kelantan 2013, Hasnah Ibrahim, 55, dari Kampung Chita Jaya, Tanah Merah berkata, beliau memperoleh pendapatan RM2,100 sebulan hasil mengusahakan produk daun getah itu di samping elaun sebagai Pemaju Masyarakat Risda sebanyak RM500 sebulan. — Bernama