RM500,000 bina dewan masyarakat di Kampung Sungai Apong Baru

0

BERITA GEMBIRA: Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk pembinaan dewan masyarakat baharu Kampung Sungai Apong Baru, Pending. — Gambar Cimon Upon

KUCHING: Penduduk Kampung Sungai Apong Baru, Pending di sini bakal memiliki dewan masyarakat baharu yang lebih selesa dan lengkap di kampung itu.

Keadaan dewan di situ yang sudah uzur dan serba ke-kurangan akan digantikan baharu apabila peruntukan sebanyak RM500,000 telah diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berita gembira itu diumumkan beliau ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Penduduk di dewan masyarakat di situ dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Sarawak.

“Saya tengok ada permohonan untuk membina dewan baharu berharga lebih kurang RM400 ribu, jadi saya bagi (luluskan) setengah juta (RM500,000) termasuk dengan peralatan, kerusi, meja dan alat pembesar suara,” katanya.

Muhyiddin memberitahu bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu melihat semua rakyat mendapat kehidupan yang baik, sejahtera dan bahagia, justeru usaha melengkapkan keperluan penduduk akan diteruskan.

“Kita tahu di Sarawak perkara-perkara berkaitan dengan pembangunan sentiasa diberi perhatian dan kita mahu penduduk kampung ataupun di bandar mendapat kemudahan-kemudahan yang diperlukan supaya kita dapat hidup dengan lebih baik lagi.

“Sebab itu kita menumpukan segala keperluan asas penduduk agar tiada yang tertinggal ke belakang kerana kita mahu mencapai sebuah negara maju,” tambahnya.

Oleh itu, Muhyiddin berkata untuk itu kerjasama daripada rakyat amat diperlukan termasuk perpaduan kerana ia merupakan asas pembangunan negara.

Terdahulu, ketibaan Muhyiddin ke kampung itu disambut dengan tarian ngajat, tarian kebudayaan kaum Iban yang ditarikan lima anak muda sebelum Ketua Kaum Jeffery Kemping Duin memakaikan beliau baju burung bermotif pua kumbu serta tarian langgi (tarian selamat datang) oleh lima penari daripada kaum Bidayuh.

Beliau kemudian bersarapan bersama anggota keluarga Datuk Temenggong Kanang Langkau serta penduduk kampung.

Sementara itu, Kemping, 68, berterima kasih kepada kerajaan BN kerana meluluskan peruntukan membina dewan masyarakat yang baharu tersebut.

“Ini lawatan pertama Timbalan Perdana Menteri  ke kampung ini, tapi beliau sudah luluskan peruntukan sebanyak RM500,000,              saya selaku ketua kaum di sini amat berterima kasih kepada kerajaan BN,” katanya yang ditemui selepas majlis.

Menurutnya dewan itu diguna untuk aktiviti penduduk seperti kelas menjahit, bermain badminton, sepak takraw, futsal serta tempat latihan tarian kebudayaan.