Namakan isteri jadi pembekal, pegawai RELA dipenjara sehari, denda RM25,000

3

KUCHING: Seorang pegawai Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang meletakkan nama isterinya sebagai pembekal makanan dan minuman untuk satu sesi taklimat kelolaan pasukan itu, semalam menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini.

Sekiranya gagal membayar denda itu, Mohd Zaini Azilah perlu menjalani hukuman penjara enam bulan.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas Mohd Zaini, 48, mengaku bersalah menggunakan jawatannya bagi mendapatkan kelulusan bekalan itu pada 17 Disember 2010 di pejabat Rela Negeri Sarawak di sini.

Bekalan bernilai RM4,910.40 itu telah diluluskan Pengarah RELA Sarawak pada 20 Disember 2010.

Bekas tentera itu didakwa meng-ikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Mengikut kertas pendakwaan dibentangkan Pegawai Pendakwa SPRM, Othman Anyan, tertuduh telah menggunakan jawatannya sebagai Pegawai RELA Daerah Pedawan untuk mengemukakan satu permohonan membekal makanan dan minuman bagi satu sesi taklimat RELA menggunakan nama isterinya.

Berikutan aduan dibuat Pejabat RELA Sarawak kepada SPRM selepas kelulusan itu, satu siasatan telah dibuat dan Mohd Zaini diberkas pada 25 Januari lepas sebelum dihadapkan ke mahkamah semalam.

Terdahulu, Mohd Zaini memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan ia merupakan kesalahan pertamanya.

Menurutnya, dia sebelum ini tidak mengetahui telah melakukan kesalahan rasuah dengan menamakan isterinya sendiri untuk memohon menjadi pembekal untuk badan awam itu.

“Jika saya tahu awal-awal lagi ini salah, saya tidak akan buat perkara ini,” katanya. — Bernama