RM45 juta bina Jalan Sarikei-Tg Manis rahmat kepada rakyat: Ding

0

SARIKEI: Ahli Parlimen Sarikei Ding Kuong Hiing menganggap pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap kelulusan peruntukan kerajaan persekutuan berjumlah RM45 juta untuk pembinaan Jalan Sarikei-Tanjung Manis adalah sebagai rahmat kepada warga Sarikei, Bintangor, Tanjung Manis dan rakyat Sarawak amnya.

Katanya pengumuman ini membuktikan bahawa kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN) peka terhadap suara, permasalahan dan permintaan yang disampaikan oleh rakyat selama ini.

“Jalan ini bermula dari Bukit Huang, Sarikei menuju ke Tanjung Sekumang di Tanjung Manis sepanjang 15 kilometer.

“Sebenarnya, pada setiap kali Parlimen bersidang, isu ini adalah salah satu perkara yang telah menjadi agenda utama yang dibangkitkan oleh saya.

“Pada persidangan Parlimen tahun lepas, saya dimaklumkan bahawa permohonan telah mendapat perhatian daripada kerajaan persekutuan dan telah dimasukkan sebagai salah satu projek dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10),” kata Ding.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu mengadakan sidang media di Pusat Khidmat Wakil Rakyat P208 Sarikei, semalam.

Sidang media itu dibuat bagi mengulas mengenai kunjungan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sarikei pagi kelmarin yang telah membawa banyak berita baik kepada warga Sarikei.

Menurut Ding, pengumuman yang dibuat secara langsung oleh Muhyiddin pada pagi kelmarin terhadap pembinaan Jalan Sarikei-Tanjung Manis mampu melakar satu sejarah yang baharu kepada masyarakat Sarikei.

“Usaha ini akan membuka satu peluang perniagaan yang mampu merancakkan lagi kegiatan ekonomi di kawasan ini nanti, sejajar dengan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang dipergiatkan di kawasan Tanjung Manis ketika ini.

“Bagi memastikan usaha ini berada pada landasan dan perancangannya, sokongan daripada rakyat amat penting bagi memastikan kelancarannya khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Sungguhpun demikian, saya ingin memaklumkan kepada masyarakat bahawa semua projek yang melibatkan perbelanjaan yang besar ini, bukannya dapat dilaksanakan dengan serta-merta tetapi ia memakan masa dan terpaksa melalui pelbagai langkah atau prosedur sebelum dilaksanakan,” ujar Ding.

Tambahnya, oleh yang demikian masyarakat harus bersabar dan teruskan sokongan padu kepada kerajaan dan pemimpin BN agar usaha pembangunan seperti ini dapat dijalankan secara berkesinambungan.

Turut hadir sama pada sidang media ini ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Datuk David Teng, Kaunselor Teng Ung Woo dan beberapa ahli Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).