Semak senarai penerima BR1M 2.0 mulai 1 Feb

0

SARATOK: Masyarakat di Parlimen Saratok boleh melihat dan menyemak senarai nama penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 untuk fasa pertama di pejabat daerah berdekatan dengan kediaman mereka mulai 1 Februari (Jumaat) ini.

Jurucakap Pejabat Daerah Saratok berkata, bermula dari tarikh tersebut orang ramai di Parlimen Saratok boleh membuat semakan nama penerima BR1M 2.0 yang bakal ditampal di papan kenyataan di tiga pejabat daerah yang terdapat di Parlimen Saratok.

“Ia merangkumi Pejabat Daerah Saratok, Pejabat Daerah Kecil Roban dan Pejabat Daerah Kecil Kabong.

“Pada kali ini seramai 7,828 orang telah tersenarai sebagai penerima fasa pertama dan majlis penyerahan baucar kepada penerima dijadualkan akan dilangsungkan dari 18 hingga 22 Februari akan datang.

“Lokasi penyerahan baucar ini adalah di Dewan Masyarakat Saratok dan sehubungan itu orang ramai bolehlah membuat semakan nama dan jadual penyerahan di lokasi yang telah dimaksudkan itu,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.