Celcom terus beramal kebajikan

0

Hasil peraduan Krismas disumbang kepada badan terpilih di Sarawak

KUCHING: Celcom Mobile Sdn Bhd dengan kerjasama Eastern Alliance Trading Co (E.M) Sdn Bhd menyampaikan sumbangan kepada empat buah badan kebajikan terpilih di negeri ini, semalam.

Sumbangan berbentuk tunai itu adalah hasil daripada pendapatan yang diperolehi menerusi peraduan MMS (sistem pesanan multimedia) anjuran bersama kedua-dua syarikat berkenaan sempena perayaan Krismas 2012.

Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Jualan Celcom Wilayah Sarawak, Doris Ting Ng Ping kepada wakil-wakil dari empat pertubuhan terbabit iaitu Persatuan Dyslexia, Salvation Army, Persatuan Autistik dan Persatuan Kanak-kanak Kanser Sara-wak (SCCS) pada majlis di Pejabat Wilayah Celcom, Jalan Tun Jugah di sini.

Terdahulu dalam ucapan ringkasnya, Doris berkata perayaan Krismas adalah mengenai perkongsian dan kasih sayang dan untuk ta-hun keenam berturut-turut, syarikat mengambil inisiatif menyediakan pokok Kris-mas hiasan bagi menghidupkan suasana perayaan di bandar raya ini.

“Tahun 2012, Celcom memperkenalkan peraduan MMS untuk orang ramai khasnya pengguna rangkaian talian Celcom yang berpeluang memenangi hadiah hebat di samping menyumbang kepada masyarakat.

“Setiap hasil daripada MMS yang diterima disumbangkan kepada empat buah badan kebajikan yang telah dipilih ini, manakala tiga MMS terbaik menerima hadiah tajaan syarikat dengan kerjasama Eastern Alliance,” jelasnya.

Setiap MMS yang diterima bagi peraduan tersebut dicaj RM0.30 dan hasil daripada peraduan singkat itu, Celcom berjaya mengumpul sebanyak RM800 untuk disumbangkan kepada empat badan kebajikan berkenaan.

Doris turut menambah, Celcom berharap meneruskan program sedemikian pada masa akan datang sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat selain aktiviti perniagaan.

Pada majlis itu, Doris bersama Pengurus Pemasaran Perniagaan Eastern Alliance, Malcolm Teo Cho Heng turut menyampaikan hadiah kepada dua daripada tiga pemenang peraduan MMS Krismas 2012.