Lagi bangkai gajah ditemui

0

KOTA KINABALU: Seekor lagi bangkai gajah Pygmy Borneo ditemui di Hutan Simpan Gunung Rara kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan angka kematian haiwan berkenaan meningkat kepada 14 ekor dalam tragedi mengejutkan penduduk Sabah itu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, mengesahkan penemuan bangkai terbaru itu setelah dimaklumkan oleh petugas di lokasi kejadian.

“Kebiasaannya gajah ini bergerak secara kumpulan dengan jumlah bilangan antara 10 hingga 20 gajah. Kita tidak menolak kemungkinan akan menemui lagi sisa bangkai gajah di sekitar kawasan berkenaan,” katanya, sambil menambah bangkai gajah terbabit ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi penemuan pertama.

Siasatan awal mendapati penemuan bangkai terbaru itu adalah kumpulan gajah yang mati setelah dipercayai diracun.

Beliau berkata walau bagaimanapun, jantina bangkai gajah itu sukar dikenal pasti berikutan keadaannya sudah reput.

Masidi berkata setakat ini pihaknya masih berusaha untuk mengenal pasti punca kejadian dan berkemungkinan cara kematian gajah itu hampir sama termasuk kesan dari penggunaan racun berikutan gajah terbabit mencari makanan dengan meragut tumbuh-tumbuhan di kawasan Hutan Simpan Gunung Rara.

Menurut beliau, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan agensi terlibat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi melihat langkah mengatasi perkara seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang.

“Sesiapa yang berkenaan dengan kes ini akan dipanggil kerana ia berkait rapat dengan aset negeri khususnya sektor pelancongan. Antara topik utama adalah isu penguatkuasaan yang akan dibincang dalam pertemuan itu nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Masidi berkata pihaknya akan melihat dan mengkaji semula bentuk hukuman dan denda yang sesuai dikenakan kepada pesalah apabila hukuman sedia ada dilihat tidak mengerunkan pihak tidak bertanggungjawab ini.

Sementara itu, difahamkan sekumpulan penyiasat Jabatan Hidupan Liar bersama polis kini cuba mengesan kembali laluan yang diambil oleh kumpulan gajah itu bagi mencari lokasi sebenar punca keracunan itu berlaku.