Kementerian Pelajaran galak SKM sertai Program G7

0

SEGAMAT: Kementerian Pelajaran menggalakkan sekolah-sekolah kurang murid (SKM) supaya bergabung dan menyertai Program Gemilang 7 (G7) bagi meningkatkan pencapaian murid dalam pelbagai bidang.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pendekatan tersebut membolehkan sekolah-sekolah terbabit berkongsi pengalaman dan berbincang cara memperbaiki kelemahan yang dihadapi.

“Sejak gabungan sekolah kurang murid diperkenalkan, pencapaian murid di sekolah-sekolah terbabit amat memberangsangkan dan ada yang sudah terkeluar daripada kategori Sekolah Berprestasi Rendah atau kategori Band Enam atau Tujuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Secara Berkelompok Bagi Sekolah-sekolah G7 Sesi 2013 di Sekolah Kebangsaan Kemedak, Batu Anam, Segamat di sini semalam.

Sehingga kini, katanya, terdapat 2,071 sekolah kurang murid di seluruh negara dengan 1,318 daripadanya adalah sekolah kebangsaan dan selebihnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan menutup sekolah kurang murid walaupun murid mereka hanya hanya tinggal seorang sahaja.

Sementara itu, beliau berkata sekolah-sekolah band lima, enam dan tujuh di negeri Kedah dan Sabah akan menjadi tumpuan utama dalam Program Penambahbaikan Sekolah (SIP) untuk dilonjakkan kepada sekurang-kurangnya band empat tidak lama lagi.

Tumpuan diberikan kepada sekolah-sekolah di kedua buah negeri itu kerana mempunyai jumlah sekolah di tahap band lima, enam dan tujuh yang lebih tinggi daripada negeri-negeri lain. — Bernama