NGO di Tanah Merah desak k’jaan Kelantan selesai isu tanah

0

TUMPAT: Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di jajahan Tanah Merah meminta kerajaan negeri pimpinan PAS supaya prihatin terhadap desakan rakyat dalam menyelesaikan isu tanah di negeri ini.

Penaung NGO berkenaan, Datuk Shaari Hassan berkata isu itu telah membelenggu hidup rakyat terutama peneroka tanah kerajaan yang sebelum ini dijanjikan diberi hak milik selepas meneroka kawasan masing-masing sebelum 1990.

“Kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut kini terhimpit dan kecewa apabila permohonan mereka untuk mendapatkan hak milik tanah tidak diluluskan kerajaan negeri kerana didakwa telah diserahkan kepada syarikat asing untuk tujuan pembangunan,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan ‘Selamatkan Bumi Kelantan’ di Pasir Pekan, di sini semalam.

Antara NGO terlibat ialah Aktivis Kebajikan Tanah Merah, Kelab 4×4 Tanah Merah, Persatuan Pemandu Kereta Sewa Tanah Merah, Majlis Belia Jajahan Tanah Merah (MBJTM), Membawa Inspirasi Rakyat Tanah Merah (Membara) dan Persatuan Bekas Polis dan Tentera Tanah Merah.

Shaari mendakwa rakyat kini sudah bosan dengan kerenah kerajaan PAS dan sudah sampai masanya mereka membuat perubahan dengan menolak parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang. — Bernama

Shaari yang juga bekas Anggota Parlimen Tanah Merah dan bekas Ketua UMNO bahagian itu, turut kesal dengan tindakan kerajaan negeri melalui Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) yang didakwa mengambil alih tapak Padang Merdeka di bandar itu yang sebelum ini menjadi pusat kegiatan sosial dan rekreasi untuk dibina bangunan komersil oleh syarikat asing tahun lalu.

Katanya, projek itu mendapat bantahan kebanyakan NGO di bawah naungannya yang mengadakan tunjuk perasaan secara aman pada 4 Dis lepas.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan negeri mengkaji semula syarat-syarat perjanjian termasuk tempoh pajakan dengan syarikat asing terbabit bagi mengelak tanah itu terlepas daripada dimiliki rakyat negeri ini. — Bernama