Warga emas ceria dengan kunjungan Grand Palace Hotel

0

MIRI: Keceriaan 20 orang warga emas yang menghuni di rumah kebajikan Home For The Aged Krokop di sini terpancar apabila menerima kunjungan pihak Grand Palace Hotel, kelmarin.

Kunjungan terbabit merupakan program kebajikan tahunan hotel terbabit sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang beberapa hari lagi.

Pengurus Operasi Grand Palace Hotel, Leok Tsek Ming memberitahu program tersebut bertujuan untuk berkongsi kegembiraan dan beramah mesra bersama penghuni warga emas tersebut.

Selain menyediakan juadah makanan tengah hari, pihak hotel turut menyumbangkan buah limau dan angpau kepada warga emas terbabit.

Sementara itu, ahli jawatankuasa pengurusan rumah kebajikan berkenaan, Sim Teck Yan berterima kasih kepada pihak hotel tersebut diatas keprihatinan dan berkongsi keceriaan bersama warga tua terbabit menerusi program kebajikan yang dilaksanakan oleh pihak hotel itu.

“Setiap kali menjelang musim perayaan, rumah ini sentiasa menerima kunjungan daripada masyarakat setempat yang begitu bermurah hati dengan pelbagai sumbangan dan kegembiraan yang diberikan untuk penghuni di sini.

“Malahan, kita amat berterima kasih kepada kesemua pihak yang terus menyumbang dan disebabkan itu juga pihak kami tidak pernah kesuntukkan barangan makanan,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, Home For The Aged masih memerlukan dana bagi menampung kos penyelenggaraan setiap tahun yang dianggarkan berjumlah RM100,000.

Sim berkata sebahagian kos adalah ditanggung oleh Lembaga Kebajikan Cina Miri yang menggunakan wang kutipan sewa lembaga tersebut, namun ia masih tidak mencukupi untuk disebabkan wang kutipan sewa turut dimanfaatkan untuk projek kebajikan yang lain.

Menurutnya, blok baharu menggantikan blok lama yang telah hangus tahun lepas, masih dilaksanakan ketika ini dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini.

Hadir sama Penyelia Home For The Aged Sister Emily Ubong, Pengurus Pembangunan Perniagaan Grand Palace Hotel Mary Choo, Pengurus Pejabat Hadapan (Front Office) Grand Palace Hotel Solomon Maran, Setiausaha Grand Palace Hotel Susana Ong, Ketua Pegawai Keselamatan Mohamad Kaderi, Eksekutif Grand Palace Hotel Christopher Gan, Jocelyn Ngau dan Melissa Bungan.