Yong seru bakal calon SUPP lebih agresif turun padang

0

KUCHING: Ahli Parlimen Stampin Datuk Yong Khoon Seng menyeru bakal calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk turun padang secara lebih agresif sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Beliau bagaimanapun positif bakal calon-calon dipilih akan menjalankan tanggungjawab dengan baik termasuk yang bakal menggantikannya.

“Calon tersebut turut mengikut saya ke sesebuah majlis, saya yakin beliau sering turun padang cuma tidak memaklumkan kepada pihak media,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah kepada Pelajar Cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawa di sini, semalam.

Yong yang tetap dengan pendiriannya untuk bersara dikatakan akan diganti oleh Setiausaha Agung Pemuda parti Wilfed Yap.

Yong turut berkata, beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat walaupun selepas bersara.

Menurutnya, beliau akan terus menyumbang kepada masyarakat menerusi beberapa pertubuhan amal.

“Bersara tidak akan menghalang saya untuk terus berkhidmat selagi mampu,” katanya.