Contohi pertubuhan Meninggikan Akhlak Chee Chuan Khor Simanggang

0

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, pertubuhan amal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh korporat dan orang awam di sini harus menjadikan Pertubuhan Meninggikan Akhlak Chee Chuan Khor Simanggang sebagai contoh bagi semua pihak.

Ini kerana katanya, pertubuhan terbabit telah membuktikan kesungguhan mereka dalam menyuburkan amalan bersedekah dalam negeri ini terutama di Sri Aman.

Menurutnya, pertubuhan ini sering mengadakan aktiviti kebajikan untuk membantu golongan kurang berkemampuan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama para penerima sendiri.

“Saya meminta agar semua pihak menjadikan pertubuhan ini sebagai ikutan dalam membantu kerajaan mengurangkan masalah kebajikan rakyat,” katanya pada majlis Painting The Eye Of The Lion dan Penyampaian Sumbangan Barangan Kepada Golongan Istimewa di bangunan Pertubuhan Meninggikan Akhlak Chee Chuan Khor Simanggang di sini, semalam.

Seramai 47 murid daripada golongan kurang berkemampuan menerima angpau dan hadiah pada majlis itu.

Pada masa sama, seramai 45 ibu tunggal serta warga emas turut menerima angpau dan sumbangan makanan daripada Chee Chuan Khor Simanggang.

Pada majlis itu, Harden mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Chee Chuan Khor Simanggang.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menekankan bahawa perpaduan antara kaum menjadi penentu kepada pertumbuhan ekonomi tinggi di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau meminta semua rakyat berbilang kaum dan agama terus bersama-sama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi mengekalkan kestabilan politik sedia ada.

Turut hadir pengerusi pertubuhan tersebut, Kapitan Kuek Aik Seng, Temenggung Sii Toh Peng, bekas penghulu Lee Shiang Hua dan Ketua Pergerakan Pemuda SUPP Simanggang Patrick Michael.