JKKK Jalan Keria sambut Maulidur Rasul

0

SARIKEI: Bagi menyambut dan memperingati Hari Keputeraan Nabi Muhammad s.a.w atau Maulidur Rasul, adalah menjadi satu kemestian penduduk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Keria, di sini meraikannya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, selain melibatkan diri pada majlis perarakan, penduduk JKKK Jalan Keria turut mengadakan kenduri atau jamuan.

Pengerusi JKKK Jalan Keria Sarikei, Abdul Gani Ali berkata seperti kebiasaannya pada sambutan Maulidur Rasul pihaknya terdiri daripada sekitar 40 orang turut serta pada perarakan yang dianjurkan.

“Bagi menghargai sumbangan dan komitmen yang diberikan oleh penduduk pada sepanjang aktiviti terbabit, pihak kita setuju mengadakan kenduri sebagai tanda berterima kasih dan kesyukuran.

“Kenduri itu diadakan sempena Maulidur Rasul di samping mengukuhkan hubungan penduduk di kawasan kejiranan ini,” katanya pada majlis kenduri kesyukuran sempena Maulidur Rasul di rumahnya, di sini semalam.

Tambahnya, beliau berharap kerjasama dan komitmen serupa mampu diteruskan pada masa akan datang.

Pada majlis itu, sekitar 50 orang penduduk hadir dan semua tetamu dijamu dengan hidangan yang berupa minuman dan makanan.