Pemimpin wanita mempunyai kuasa sebagai penentu PRU13

0

KUCHING: Pemimpin wanita khasnya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sarawak mempunyai kuasa sebagai penentu kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Memberi keyakinan tentang perkara itu, Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil menjelaskan, selain wanita BN sendiri, wanita termasuk daripada NGO merupakan jentera secara keseluruhan kepada PRU.

“Misalnya dalam program kita hari ini, kita menyaksikan kira-kira 1,500 pemimpin wanita NGO Sarawak dan ini satu petanda kepada kita.

“Wanita adalah 50 peratus daripada pengundi dan saya mahu mengingatkan bahawa wanita menjadi kuasa penentu parti mana yang akan menang dan mereka adalah jentera wanita keseluruhan di negara ini termasuk Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Gagasan Aspirasi Wanita yang dihadiri Menteri Kebajikan, Wanita dan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah di sini, semalam.

Sharizat yang juga pengerusi Majlis Pembangunan, Wanita dan Keluarga (MPWK) menasihati rakyat Sarawak supaya tidak terpedaya dengan permainan pembangkang dari Semenanjung Malaysia.

Ini kerana menurut beliau, permainan politik yang dibawa pembangkang adalah amat berbahaya kerana menjadikan agama dan bangsa sebagai isu mereka.

“Pada saya satu ciri yang membimbangkan daripada pembangkang adalah unsur-unsur untuk memecahbelahkan kestabilan dan perpaduan yang sedia ada di Sarawak,” tegasnya.

Pada masa yang sama beliau mencabar calon parti pembangkang supaya bertanding di kawasan sedia ada untuk PRU13 dan bukan bertanding di konstituensi lain.

“Saya dimaklumkan akan ramai antara mereka akan lompat (bertanding) ke kawasan lain kerana prestasi perkhidmatan mereka memang lembab.

“Banyak kawasan di mana pengundi telah memberi undi kepada pembangkang pada PRU 2008 menyatakan kekesalan kerana selepas pilihan raya tidak ada pembelaan atau perkhidmatan disampaikan,” katanya.

Sebaliknya menurut Sharizat pembangkang lebih memilih untuk menumpukan politik retorik mereka sahaja sedangkan apa yang penting adalah menjaga pengundi mereka.

Beliau berkata pembangkang sentiasa menjaja idealisme yang sukar diterjemahkan untuk menjadi realiti.