Site Last Updated 9:33 am, Wednesday

RM78 juta kendali PRU13

by Patricia Gari. Posted on February 6, 2013, Wednesday

KUCHING: Sarawak memperoleh peruntukan terbesar berbanding negeri-negeri lain iaitu RM78 juta bagi membiayai pengendalian proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Sarawak menerima peruntukan tertinggi disebabkan masalah perhubungan di negeri ini selain mempunyai keluasan lebih besar berbanding negeri-negeri lain.

Menurutnya RM78 juta itu akan digunakan untuk menyediakan segala keperluan logistik iaitu 780 perahu, 56 bot laju, 4,819 kenderaan pacuan empat roda, 27 helikopter dan dua pesawat ringan selain elaun perjalanan petugas dan makanan.

“Peruntukan keseluruhan untuk PRU13 dianggarkan RM400 juta dan Sarawak mendapat RM78 juta, jumlah tertinggi berbanding negeri-negeri lain dan daripada jumlah itu (RM78 juta), 56 peratus adalah untuk sewaan keperluan  logistik, 23 peratus bagi makanan dan 18 pe-ratus tuntutan elaun perjalanan pe-tugas SPR,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu beliau menyempurnakan  penyerahan surat pelantikan Pemerhati Pilihan Raya Tempatan pada PRU13 yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar dan Pengerusi SPR Sarawak Datu Takun Sunggah.

Abdul Aziz menambah, dianggarkan 22,601 petugas SPR akan di-kerah selain 31 Pegawai Pengurus Pilihan Raya, 122 Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya, 65 Ketua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya  (PPKPR), 133 Ahli Tetap PPKPR, 2,666 Ketua Saluran Mengundi dan 3,828 Pemandu Arah Pusat Mengundi bertugas sepanjang PRU13 di Sarawak.

Sementara itu katanya, sehingga September 2012  jumlah pengundi berdaftar di Sarawak ialah sekitar 1.1 juta orang dan jumlah itu meningkat kepada 1.2 juta orang sekiranya senarai daftar pemilih bagi suku keempat (Oktober hingga   Disember 2012) diguna pakai pada PRU13 nanti.

“Jumlah pengundi berdaftar di seluruh negara ketika ini kalau meng-ikut senarai daftar pemilih sehingga September 2012 ialah 13.1 juta orang.

“Jumlah dijangka bertambah kepada 13.3 juta (orang) sekiranya senarai daftar pemilih sehingga Disember 2012 diambil kira… masih ramai lagi yang belum mendaftar.

“Bagi yang belum mendaftar, boleh mendaftar cuma sama ada anda layak atau tidak mengundi pada PRU13 nanti bergantung kepada tarikh Parlimen akan dibubarkan,” katanya sambil menambah tempoh hayat Parlimen bakal berakhir pada 28 April 2013.

Mengenai permohonan undi pos rakyat Malaysia yang berada di luar negara yang menggunakan Borang 1B iaitu melibatkan pengundi berdaftar berusia 21 tahun dan ke atas bukan dalam kalangan penuntut sepenuh masa serta penjawat awam serta pasangan masing-masing, Abdul Aziz berkata setakat 4 Februari 2013 seramai 1,419 telah memohon.

Beliau berkata permohonan yang paling tinggi diterima daripada peng-undi berdaftar yang berada di Australia (318) diikuti United Kingdom, Amerika Syarikat, Qatar dan China.

Sementara itu beliau menasihati pengundi yang sudah mendaftar agar menyemak senarai daftar pengundi lebih awal bagi mengesahkan sebarang masalah seperti kesilapan tempat mengundi dan sebagainya.

“Semakan ini penting dan mudah sahaja dilakukan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) atau melayari laman web, www.pru13. gov.com.my. Jangan tunggu sampai tiba hari pilihan raya, kalau aduan dibuat pada hari mengundi itu sudah terlambat, SPR tidak boleh berbuat apa-apa,” tegasnya.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen iaitu Mas Gading, Stampin, Batang Sadong, Betong, Sarikei, Sibu, Hulu Rajang, Baram, Santubong, Kota Samarahan, Batang Lupar, Saratok, Julau, Mukah, Bintulu, Limbang, Lawas, Sibuti, Selangau, Kanowit, Tanjung Manis, Sri Aman, Mambong, Petra Jaya, Bandar Kuching, Serian, Lubok Antu, Igan, Lanang, Kapit dan Miri.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.