107 peserta menyertai Seminar Bahasa Vaie 2013

0

BINTULU: Seramai 107 peserta menyertai Seminar Bahasa Vaie 2013 yang diadakan di Dewan Kuliah Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu semalam.

Seminar berlangsung dari 6 hingga 8 Februari itu adalah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Pejabat Pentadbiran Bahagian Bintulu dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.58 Jepak.

Tujuannya adalah untuk menghimpunkan para sarjana, pengkaji, karyawan dan ahli bahasa dalam kalangan masyarakat Vaie (Melanau Bintulu) untuk penerokaan pendokumentasian, pelestarian dan pembinaan bahasa Vaie.

Selain itu, ia adalah untuk menggalakkan pengkajian dan memuktamadkan tentang aspek ejaan, sebutan dan beberapa aspek linguistik lain dalam bahasa Vaie, merangsang wacana keilmuan dalam kalangan masyarakat Sarawak khususnya masyarakat Vaie supaya lebih peka tentang bahasa Vaie, seterusnya memartabatkannya untuk tujuan pelestarian.

Aspek penting juga ialah menghasilkan penerbitan Kamus Bahasa Vaie-Bahasa Melayu serta pembinaan kamus audio visual bahasa tersebut, penerbitan buku daftar kata Bahasa Vaie-Bahasa Melayu dan Buku Istilah Artifak Budaya Masyarakat Vaie.

Tiga pembentang kertas kerja telah dijemput menyampaikan kertas kerja mereka dalam seminar itu iaitu Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Datuk Profesor Emeritus Dr Asmah Omar yang mengupas mengenai `Menyusun Kamus Bahasa Komuniti: Kaedah Mengumpul Data di Lapangan’.

Ia diikuti pembentang kedua oleh Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang Dr Sarifuddin Mohd Yusop yang mengupas berkenaan `Fonologi Bahasa Vaie’.

Manakala pembentang ketiga ialah Pensyarah Curtin University Miri Bibi Aminah Abdul Ghani yang membentangkan tentang `Bahasa dan Budaya Masyarakat Vaie’.

Bengkel secara berkumpulan turut diadakan pada seminar itu.