5,035 penerima BR1M 2.0 penuhi Pejabat Daerah Mukah

0

MUKAH: Seramai 5,035 orang penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 memenuhi Pejabat Daerah di sini kelmarin selepas senarai nama mereka dikeluarkan.

Kakitangan Pejabat Daerah Mukah mempamerkan senarai penerima pertama dan menyediakan kaunter pembayaran kepada orang ramai.

Sementara itu, menurut pihak terbabit, mereka yang tidak dapat menuntut sendiri atas sebab-sebab yang munasabah boleh menghantar wakil atau waris terdekat untuk menuntut baucar berkenaan.

Sehubungan itu, wakil tersebut harus membawa bersama dua salinan kad pengenalan dan dua salinan kad pengenalan waris terdekat dan tuntutan hanya boleh dibuat selepas 18 Februari ini.

Penerima yang memiliki nama yang beralamat di Rumah Mawar, Tanjung Pedada, Rumah Randi Ugil, Rumah Lincan, Nanga Buri, Kampung Kenyana, Kampung Sitieng, Kampung Skoyan, Kampung Sesok Baru dan Lama, Kampung Teh Labak dan Kampung Sau yang terlibat akan menerima baucar mereka pada Majlis Penyampaian Baucar BR1M 2.0 di Rumah Mawar Tanjung Pedada pada 8 Februari ini.