Site Last Updated 4:06 pm, Monday

Cerita rakyat, istilah budaya tempatan didokumentasi

by Abang Ismail Abang Su’ud. Posted on February 7, 2013, Thursday

Dikumpul sama ada melalui peraduan atau kajian lapangan

BINTULU: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak kini giat berusaha menerbitkan beberapa koleksi cerita rakyat dan glosari istilah budaya tempatan yang diperolehi hasil pengumpulan sama ada melalui peraduan yang dianjurkan atau kajian lapangan yang dilaksanakan.

Pengarahnya Dr Amran Joned berkata, tahun ini pihaknya bercadang menerbitkan semula beberapa pilihan koleksi bahan bacaan yang pernah diterbitkan oleh Biro Kesusasteraan Borneo seperti lagu rakyat, puisi, cerita rakyat, cerpen dan rencana.

Katanya ia di bawah penerbitan berpakej bagi menyebarluaskan warisan khazanah penerbitan yang bersifat `local genius’ atau kepintaran tempatan kepada masyarakat umum.

“Inisiatif yang ditunjukkan ini membuktikan bahawa DBP Cawangan Sarawak bersungguh-sungguh dalam mengetengahkan khazanah yang mampu mempamerkan keunikan Borneo ke persada dunia melalui penggunaan bahasa kebangsaan,” ujarnya ketika berucap merasmikan Seminar Bahasa Vaie 2013 di Dewan Kuliah Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu semalam.

Dalam pada itu katanya, idea asal Projek Pengumpulan Kosa Kata Bahasa Sukuan Sarawak dicetuskan pada 1980 oleh Ketua Pengarah DBP waktu itu, Datuk Hassan Ahmad yang ingin melihat DBP Cawangan Sarawak menjadi pusat pengumpulan dokumentasi bahan dan data tentang bahasa dan sastera di Sarawak.

“Projek ini kemudiannya dimulakan pada tahun berkenaan berdasarkan kertas kerja yang ditulis khusus untuk projek itu oleh Profesor Dr Asmah Omar.

“DBP Cawangan Sarawak telah mengenal pasti 21 bahasa sukuan di Sarawak untuk dibuat kajian dan pengumpulan.

“Hasilnya akan diterbitkan dalam bentuk glosari Bahasa Sukuan-Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu-Bahasa Sukuan,” jelasnya.

Katanya secara dasarnya projek ini dilaksanakan demi mencapai integrasi nasional melalui bahasa kebangsaan sekali gus meningkatkan penglibatan rakyat Sarawak secara langsung dalam proses pembinaan bahasa kebangsaan dan seterusnya menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan.

Beliau berkata setakat ini DBP telah berjaya menerbitkan beberapa daftar kata dan kamus bahasa sukuan sebagai bukti kesungguhannya dalam menjayakan matlamat ini.

Ujarnya, daftar kata itu ialah Bahasa Melayu-Bahasa Bisaya (1992), Bahasa Melayu-Bahasa Selakau (1992), Bahasa Melayu-Bahasa Melayu Sarawak (1992), Bahasa Melayu-Bahasa Kayan (2006), Bahasa Melayu-Bahasa Melanau Seduan (2006), Bahasa Bisaya-Bahasa Melayu (1994), Bahasa Selakau-Bahasa Melayu (1996) dan Bahasa Melayu Sarawak-Bahasa Melayu (1998).

Manakala bagi kamus pula katanya, dua kamus iaitu Kamus Iban-Bahasa Melayu (1989) dan Kamus Bahasa Melanau Mukah-Bahasa Melayu (2011) telah berjaya diterbitkan.

“Usaha pelestarian bahasa sukuan itu tidak terhenti setakat itu sahaja. DBP sentiasa berusaha memberikan pengiktirafan terhadap kosa kata bahasa sukuan ini dengan memasukkannya ke dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu.

“Ia selaras dengan usaha ke arah mengurangkan peminjaman kosa kata bahasa Inggeris di samping membantu memelihara warisan budaya tempatan,” tambahnya.

Beliau berkata, Projek Pengumpulan Kosa Kata Bahasa Sukuan Sarawak ini amat bererti kepada masyarakat Sarawak kerana ia menjadi bukti manifestasi pengiktirafan kerajaan terhadap warisan budaya termasuk bahasa sukuan ddan sumbangannya dalam pembinaan masyarakat Malaysia.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.

88