Azli Paat tinggalkan pelbagai legasi

0

Allahyarham mampu dekati pendengar melalui sifatnya yang disenangi

KUALA LUMPUR: Legasi yang ditinggalkan pakar bidang teknologi maklumat (ICT), Allahyarham Azli Paat merangkumi pelbagai perkara dan bukan sahaja dari sudut penambahan ilmu kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Operasi Bernama Radio24 (BR24), Azlan Idris berkata selain menjadi pakar rujuk dalam konteks pembangunan dunia teknologi maklumat, Allahyarham juga berjaya mencipta sejarah dalam industri penyiaran tanah air apabila mampu mendekati pendengar radio melalui sifat peribadinya yang sangat disenangi.

Beliau berkata pemergian Allahyarham telah meninggalkan kesan kepada seluruh warga BR24 dan juga pendengar setia program ‘Azli On Air – ICT & Anda’ yang telah bersiaran sejak 2008.

“Dalam sejarah industri penyiaran tanah air beliau merupakan ikon yang berjaya menyampaikan maklumat dengan membina jambatan hubungan bersama pendengar. Pemergian Allahyarham sangat dirasai kerana beliau merupakan panel terawal yang bersiaran di dalam kandungan siaran kami sejak BR24 mula menemui pendengar,” katanya.

BR24 yang membuka talian sejak awal pagi menerima banyak panggilan daripada peminat setia Allahyarham yang menyatakan rasa terkejut dan sedih berikutan pemergiannya secara mengejut kerana program ‘Azli On Air – ICT & Anda’ sudah sinonim dengan mereka yang mendengarnya sewaktu dalam perjalanan ke pejabat.

Dalam pada itu, Azlan berkata usaha membawa Azli Paat dalam siaran BR24 diilhamkan oleh bekas Ketua Pegawai Operasi BR24, Sheikh Raffie Abdul Rahman kerana beliau melihat bidang ICT sebagai satu keperluan bukan sahaja untuk masyarakat tetapi bagi menjayakan misi membina sebuah negara maju menjelang 2020.

Katanya pendekatan yang dibawa Allahyarham sepanjang lima tahun bersiaran telah menepati corak BR24 iaitu mewujudkan platform interaksi langsung bersama pendengar.

“Allahyarham juga sangat komited dalam menjalankan tugas kerana beliau sentiasa menganggap tugasnya sebagai satu amanah yang harus dipikul, malah sejak Allahyarham mula ke udara di siaran radio kami, beliau tidak pernah ‘ponteng’ atau tidak hadir.

“Ketika Allahyarham mengikuti kursus di luar negara contohnya di New Zealand, Sepanyol dan Korea, beliau masih menunjukkan komitmen yang tinggi untuk berlintas langsung walaupun berbeza waktu dan ini menunjukkan sifat peribadi beliau yang sangat murni,” katanya.

Dalam pada itu, Azlan berkata BR24 juga telah kehilangan program utama yang disifatkan oleh pendengar setia segmen ‘Azli On Air – ICT & Anda’ sebagai sebuah program terbaik yang dihasilkan BR24 dalam bidang ICT.

“Kami tidak mampu mencari pengganti Allahyarham tetapi kami cuba mewujudkan program seumpama dengannya pada masa akan datang.”

Sementara itu, Azlan berkata satu program khas akan diadakan pada minggu hadapan bagi mengimbau kembali sumbangan Allahyarham sepanjang bersama BR24.

Program berkenaan akan diterbitkan dalam bentuk dokumentari dan akan bersiaran pada Rabu, jam 7.30 pagi hingga 8 pagi.

Azli, yang juga Pemenang Anugerah Perdana Menteri ‘Best of the Best’ APICTA 2012, meninggal dunia akibat demam panas di rumahnya di Bukit Segambut, di sini malam kelmarin.

Allahyarham meninggalkan seorang balu serta 10 orang anak iaitu enam lelaki dan empat perempuan.

Azli merupakan pengasas DAPAT SMS dan mySMS 15888 yang mengubah cara orang awam dan organisasi berkomunikasi di antara satu sama lain.

Beliau juga pencetus idea mewujudkan RakanCop di mana orang awam kini dapat bekerjasama dengan pihak polis bagi mencegah jenayah. — Bernama