Kastam rampas pistol, peluru

1
HAMZA menunjukkan keratan gambar pistol berkenaan pada sidang media di Wisma Kastam kelmarin.

HAMZA menunjukkan keratan gambar pistol berkenaan pada sidang media di Wisma Kastam kelmarin.

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas sepucuk pistol jenis Austin Texas USA bersama beberapa butir peluru dalam satu serbuan di Kampung Kenali, Tungku Lahad Datu baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pengarah JKDM Sabah (Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan), Hamzah Sundang, penemuan senjata terbabit adalah hasil daripada aktiviti rondaan rutin serta serbuan oleh pihak penguatkuasaan ke lokasi berkenaan pada 4 Februari lalu.

“Hasil daripada pemeriksaan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kenali, Tungku sekitar jam 4 petang itu, kita berjaya menemui sepucuk pistol jenis Austin Texas USA bersama beberapa butir peluru 45 Auto.

“Tiada tangkapan ke atas mana-mana individu dilakukan dan kesemua barangan yang dirampas telah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan Hamza berkata pihaknya turut berjaya merampas sejumlah paket syabu pada serbuan dilakukan oleh bahagian penguatkuasaan di daerah Kudat dan Lahad Datu.

“Dalam insiden 6 Februari lepas, sepasukan anggota penguatkuasaan telah berjaya merampas dua paket kecil yang dipercayai syabu di Pekan Kecil Paitan, Kudat.

“Pada hari yang sama juga, Kastam Lahad Datu telah berjaya menemui dan merampas 71 paket syabu di dalam sebuah bilik stor berhampiran tangga bangunan Cenderawasih, Lahad Datu,” katanya sambil menambah, kedua-dua kes berkenaan merupakan kes rampasan.