Kelindan lori maut, pemandu parah

0

LAHAD DATU: Seorang kelindan lori maut manakala pemandunya cedera parah selepas lori kurang 2.5 tan yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebatang tiang elektrik dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 18, Jalan Lahad Datu-Tawau, petang Khamis lalu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Abu Sali Harman, 35, dikatakan telah meninggal dunia kira-kira jam 8.30 malam di Hospital Daerah Lahad Datu selepas mengalami cedera parah di bahagian kepala dan bahagian dalam.

Manakala pemandu lori terbabit dikenali sebagai Roger Gabriel, 44, turut mengalami cedera parah pada bahagian dada dan pinggulnya dan kini masih lagi menerima rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitendan Shamsudin Mat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata siasatan awal pihaknya di lokasi kejadian mendapati kemalangan itu berpunca apabila lori yang dipandu Roger yang datang dari arah Tawau menghala ke Lahad Datu telah hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian lalu terbabas ke bawah bukit di sebelah kanan jalan dan merempuh sebatang tiang elektrik yang berada di situ.

“Impak daripada kemalangan itu telah mengakibatkan kedua-dua mangsa mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Daerah Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

“Namun, beberapa jam kemudian Abu yang juga merupakan kelindan lori terbabit telah dimaklumkan meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian kepala dan bahagian dalaman, sementara pemandu lori terbabit kini masih lagi menjalani rawatan di hospital,” katanya sambil menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Shamsudin menasihatkan orang ramai terutamanya mereka yang merancang untuk mengadakan perjalanan jauh sempena cuti Tahun Baharu Cina ini supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan pastikan kenderaan masing-masing berada dalam kondisi yang baik sebelum memulakan perjalanan.

“Seperti kita sedia maklum, perayaan Tahun Baharu Cina hanya tinggal sehari sahaja lagi, maka adalah dinasihatkan kepada para pengguna jalan raya terutamanya bagi mereka yang telah merancang untuk mengadakan perjalanan jauh, untuk balik bercuti ke kampung halaman masing-masing, supaya pandu kenderaan anda dengan lebih cermat.

“Patuhi had laju yang telah ditetapkan dan berhenti seketika di lorong-lorong yang selamat sekiranya anda ingin berehat sebelum menyambung semula perjalanan ke destinasi yang dituju, dan sila pastikan tali pinggang keselamatan sentiasa dipasangkan bagi mengelak perkara-perkara yang di luar jangkaan berlaku,” katanya.