Amah lesapkan lebih RM8,000 milik majikan

1

SIBU: Seorang pembantu rumah wanita warga Indonesia melarikan diri dari rumah majikannya selepas dipercayai mencuri wang tunai melebihi RM8,000, baru-baru ini.

Dalam kejadian pada jam 7 pagi itu, majikan perempuan yang berumur sekitar 80-an bangun dan cuba memanggil orang gajinya tetapi tidak mendapat respons.

Biasanya, orang gajinya yang hanya dikenali sebagai Riana, 42, tidur di atas lantai manakala majikannya tidur di atas katil.

Difahamkan, orang gaji berkenaan terlebih dahulu menyelubungi bantal dan gulingnya seolah-olah seperti ada orang yang masih tidur, sebelum melarikan diri.

Setelah memanggil beberapa kali tanpa jawapan, majikannya cuba membangunkan Raina, namun mendapati hanya bantal dan guling sahaja berada di situ.

Warga tua tersebut kemudian bertindak memanggil anak perempuan dan menantunya yang tinggal bersebelahan untuk memberitahu apa yang telah terjadi.

Mengesyaki sesuatu yang tidak kena, mereka terus memeriksa almari warga tua tersebut dan mendapati wang tunai melebihi RM8,000 sudah lesap.

Menurut majikan berkenaan, dia membuat pengeluaran wang tunai itu sebagai persediaan untuk menyambut Tahun Baharu Cina.

Mereka percaya orang gaji tersebut melarikan diri dengan menggunakan pintu depan rumahnya sambil membawa kesemua pakaiannya.

Bagaimanapun, pasport dan permit kerja orang gaji tersebut masih berada dalam simpanan majikannya.

Pengadu diriingi oleh anakperempuan dan menantunya telah membuat laporan polis mengenai kejadian pada pagi semalam.

Orang gaji tersebut sebelum ini sering dibawa majikannya pergi ke bandar untuk membeli-belah setiap hujung minggu.

Pengadu percaya orang gajinya telah berkenalan dengan orang lain dari negaranya dan berpakat untuk melarikan diri.

Kes tersebut kini dalam siasatan polis.