Fenomena air pasang merah tidak berlaku di Sarawak

0

KUCHING: Analisis terhadap sampel air, kerang dan ikan pelagik di perairan Lawas disahkan negatif fenomena air pasang merah dedah Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS).

Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) Bohari Leng ketika dihubungi semalam mengesahkan fenomena air pasang merah tidak berlaku di negeri ini dan hanya berlaku di Sabah setakat ini.

Sehubungan itu beliau menjelaskan kini orang ramai tidak perlu bimbang mengenai perkara berkenaan memandangkan hasil kajian didapati negatif air pasang merah.

“Hasil analisis terhadap sampel air, kerang dan ikan pelagik di perairan Lawas negatif fenomena air pasang merah.

“Buat masa ini air pasang merah tidak berlaku di Sarawk namun kita tetap masih memantau dari semasa ke semasa,” katanya kepada Utusan Borneo.

Bohari berkata, pemantauan terus dilakukan di perairan di negeri ini memandangkan Sabah masih lagi mengalami fenomena air pasang merah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasil keputusan analisis sampel air, kerang-kerangan dan ikan pelagik di Lawas sebelum ini.

Pada satu sidang media 16 Januari lepas, Bohari dipetik sebagai berkata, perairan Sarawak masih bebas daripada fenomena air pasang merah.

Sehubungan itu pada awal Januari lepas, jabatan telah mengambil sampel air, kerang dan ikan pelagik di perairan Lawas bagi menentukan sama ada negeri ini dilanda fenomena air pasang merah.

Tambahnya sejak mula dikesan di Sabah pada 1976, pihaknya tidak menerima aduan mahupun laporan daripada nelayan atau pelaut mengenai fenomena itu.

Fenomena air pasang merah hanya berlaku di tempat spesifik seperti perairan pantai barat Sabah kerana terdapat banyak teluk dan lagun yang menyebabkan arus air laut tidak banyak bergerak.

Kemalangan pertama melibatkan fenomena itu berlaku di Sabah pada 1976 dan kini berlaku pada setiap tahun.

Pada Disember tahun lepas, dua kematian dilaporkan akibat memakan kerang dicemari toksik berpunca daripada fenomena tersebut di Sabah.