Site Last Updated 11:23 am, Friday

Hanya Pejabat Residen keluar lesen sabung ayam

Posted on February 13, 2013, Wednesday

MESYUARAT: Galong (tiga kiri) bersama Alexander (tiga kanan), Ambrose (dua kanan) dan tetamu lain ketika bermesyuarat di Song.

MESYUARAT: Galong (tiga kiri) bersama Alexander (tiga kanan), Ambrose (dua kanan) dan tetamu lain ketika bermesyuarat di Song.

SIBU: Masih ramai masyarakat keliru berhubung badan yang layak mengeluarkan lesen sabung ayam.

Ada yang berpendapat Permit Perhimpunan Awam yang dikeluarkan pihak polis merupakan lesen sabung ayam yang sah.

Tidak kurang juga yang berpendapat lesen sabung ayam boleh dikeluarkan Pejabat Daerah ataupun wakil rakyat.

Pegawai Daerah Song Galong Luang ketika mempengerusikan Majlis Randau dan Dialog yang dihadiri Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi dan ADUN Katibas Datuk Ambrose Blikau Enturan menjelaskan hanya Pejabat Residen Bahagian yang layak mengeluarkan lesen sabung ayam.

“Borang permohonan tersebut, bagaimanapun boleh didapati di Pejabat Daerah menerusi borang khas.

“Setiap permohonan perlu mendapat persetujuan daripada ketua masyarakat, Ketua Polis Daerah dan Pegawai Daerah,” jelas beliau.

Katanya, borang yang telah lengkap diisi kemudian diserahkan semula kepada Pejabat Residen menerusi Pejabat Daerah untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Galong, sebelum lesen sabung ayam dikeluarkan, residen akan merujuk permohonan tersebut kepada jawatankuasa lesen sabung ayam bagi membincangkan sama ada lesen berkenaan diluluskan atau sebaliknya.

Tambahnya, Jawatankuasa Lesen Sabung Ayam dipengerusikan oleh Residen Bahagian dan dianggotai pegawai daerah/wakil, ketua polis daerah/wakil dan ketua masyarakat bagi sesebuah daerah.

Lesen sabung ayam, setakat ini hanya dibenarkan untuk masyarakat Iban sahaja mengikut Adat Iban 1993 bagi aktiviti seperti Gawai Dayak, Gawai Antu, Gawai Burong, Gawai Batu dan Gawai Lumbong.

“Justeru, saya berharap masyarakat faham mengenai proses tersebut agar tidak terkeliru yang sengaja diwujudkan pihak tertentu bagi kepentingan mereka,” tegas beliau.

Galong menjelaskan, sehingga kini belum ada lesen sabung ayam dikeluarkan di daerah Song.

Kalau adapun aktiviti tersebut, ia mungkin dijalankan secara tidak sah atau tidak berlesen.

Dalam pada itu, mesyuarat tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Song baru-baru ini.

Terdahulu, Majlis Penyerahan Baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada penduduk di sekitar kawasan Song dilangsungkan pada majlis yang sama.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.