Kesukaran daftar halang generasi muda terlibat bidang perniagaan

0
LANCAR: Dr Jamil melakukan simbolik memukul gong bagi menyempurnakan pelancaran Aktiviti Akademi Perusahaan Kecil Sederhana dan Pembangunan Keusahawanan Malaysia.

LANCAR: Dr Jamil melakukan simbolik memukul gong bagi menyempurnakan pelancaran Aktiviti Akademi Perusahaan Kecil Sederhana dan Pembangunan Keusahawanan Malaysia.

KUCHING: Kesukaran mendaftarkan perniagaan menjadi halangan besar kepada generasi muda terlibat dalam bidang itu, kata Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak Datuk Profesor Dr Jamil Hamali.

Beliau berkata, meskipun mereka mempunyai latihan dan kemahiran sewajarnya namun masih ramai lepasan ijazah gagal mengusahakan perniagaan sendiri.

Menurutnya, agensi yang terbabit perlu menyediakan inkubator bagi membolehkan pelajar mendapatkan alamat berdaftar bagi memudahkan proses pendaftaran perniagaan.

“Antara masalah dan halangan besar dihadapi generasi muda (pelajar) adalah kesukaran mendaftar perniagaan yang memerlukan mereka mempunyai alamat atau pejabat perniagaan berdaftar.

“Mungkin kita boleh mencontohi Amerika Syarikat dalam mendaftarkan perniagaan dengan menggunakan peti surat,” katanya berucap pada Malam Penghargaan dan Pelancaran Aktiviti Akademi Perusahaan Kecil Sederhana (SME) dan Pembangunan Keusahawanan Malaysia (MASMED) malam Jumaat lepas.

Dr Jamil berkata, setakat ini hanya sembilan pelajar berjaya menubuhkan perniagaan sendiri.

“MASMED UiTM Sarawak tahun ini menyasarkan lebih banyak graduan yang terlibat dalam bidang perniagaan,” ujarnya.

Justeru, beliau menjelaskan, syarikat MASMED merancang untuk menggalakkan lebih ramai pelajar terlibat dalam bidang perniagaan konvensional yang berasaskan pertanian, usahawan tekno dan usahawan siber.

“Banyak program yang dirancang MASMED bagi membolehkan objektif dan hasrat ini tercapai,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Jamil berkata UiTM Sarawak bukan hanya berperanan mendidik pelajar tetapi memberi latihan agar lebih ramai Bumiputera terlibat dalam perniagaan.

“Untuk tujuan ini kami merancang menubuhkan UiTM Sarawak Holding agar Bumiputera dapat diperkasa dalam bidang perniagaan,” kata Dr Jamil.

Hadir sama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak Paza Dan dan Koordinator MASMED UiTM Sarawak Dr Abang Zainoren Abang Aburrahman.