PKR turut menjangka berlaku perkara luar biasa pada PRU13

0

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang menjangkakan berlaku beberapa perkara luar biasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang, kata Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How.

Beliau berkata, ini kerana Barisan Nasional (BN) sudah mula risau dengan kemampuan Pakatan Rakyat (PR) yang bakal menjadi pentadbir kerajaan Malaysia seterusnya.

Menurutnya, keadaan dan perkara luar biasa mungkin juga berlaku disebabkan rasa tidak puas hati pembangkang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan pilihan raya akan datang telus dan adil.

“Saya tidak bersetuju dengan Pengerusi SPR (Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof) yang mana SPR akan memastikan pilihan raya akan datang lebih telus dan adil.

“Ini kerana SPR dan jawatankuasa membentuk pilihan raya menolak dan enggan mengguna pakai permintaan Perhimpunan BERSIH,” kata-nya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ramalan SPR bahawa pelbagai situasi luar jangka berkemungkinan berlaku pada PRU13.

See turut menjangkakan SPR akan memainkan pera-nannya dalam memastikan Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO menang bergaya pada pilihan raya akan datang.

“Ini merupakan taktik mereka. Kami mempunyai bukti, pendaftar baharu didaftar ke pusat mengundi lebih jauh.

“Ia sekali gus menyebabkan pengundi di kawasan tertentu akan mengundi di konstituensi lain,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata, perkara luar biasa yang berlaku pada pilihan raya adalah normal.

“Setiap kali pilihan raya pasti ada berlaku perkara yang di luar jangkaan,” jelasnya.

Bagimanapun menurutnya, keadaan tersebut banyak didorong beberapa faktor terutama sistem pengurusan pilihan raya.

“Kami (DAP) hanya mahu sistem pilihan raya yang telus dan adil,” kata Chong.