Keadaan di perairan Lahad Datu terkawal

2
Najib disambut oleh ribuan hadirin sejurus tiba di padang Papar kelmarin.

Najib disambut oleh ribuan hadirin sejurus tiba di padang Papar kelmarin.

waterfrontPAPAR: Kerajaan melalui pasukan keselamatan akan membuat rundingan dengan sekumpulan lelaki warga asing berpakaian ala tentera yang cuba menceroboh masuk perairan Lahad Datu bagi mengelakkan berlakunya pertumpahan darah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kumpulan lelaki warga asing yang memasuki negara ini melalui perairan Sabah telah dikepung oleh pasukan keselamatan dan polis telah mengesahkan bahawa keadaan di perairan Lahad Datu masih lagi terkawal.

Beliau berkata, anggota-anggota polis merupakan bulatan pertama yang mengepung kawasan terbabit dan bulatan kedua terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia.

“Kita mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk memberkas mereka (kumpulan warga asing) tetapi kerajaan memilih jalan untuk membuat rundingan dengan mereka agar mereka keluar dengan aman untuk balik ke Selatan Filipina supaya tidak berlaku pertumpahan darah.

“Ini yang kita cuba elakkan kerana mereka mempunyai saudara-mara di sini dan kita tidak mahu melakukan apa-apa yang menyebabkan ada nyawa yang terkorban. Kita minta mereka balik dengan cara yang baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Papar, di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai keadaan di Lahad Datu setelah sekumpulan lelaki warga asing berpakaian ala tentera dan bersenjata api menceroboh masuk ke Lahad Datu pada Rabu lalu.

Najib berkata, kumpulan berkenaan telah dikenalpasti tetapi biarlah pihak polis melakukan rundingan dengan kumpulan berkenaan.

“Mudah-mudahan rundingan ini akan mencapai hasil dan kejayaan sebab mereka tidak boleh pergi ke mana sekarang ini kerana mereka telah dikepung. Mereka tidak ada pilihan dan tunggu masa mereka perlu cari jalan penyelesaian,” katanya.

Ketika ditanya mengenai jumlah kumpulan berkenaan, beliau berkata kumpulan itu dianggarkan seramai 80 hingga 100 orang. Namun, itu cuma anggaran ia mungkin betul dan mungkin tidak.

Kemudian ketika ditanya sama ada kumpulan lelaki warga asing itu bersenjata, Najib berkata itu dalam maklumat polis.

“Kita tidak membuat apa-apa spekulasi setakat masa ini. Apa yang penting bukan kita hendak mendedahkan apa-apa maklumat dalaman. Apa yang penting adalah biarkan polis jalankan kerja mereka tanpa diganggu oleh mana-mana pihak.

“Kita tidak mahu buat apa-apa tekanan dan apa yang penting adalah keberhasilan, yang mana ia akan selesai tanpa ada pertumpahan darah,” katanya.

Najib turut memberi jaminan bahawa walaupun perairan Malaysia ini luas, pasukan keselamatan akan bertindak dengan cepat untuk mengepung mana-mana pihak yang cuba menceroboh masuk ke perairan negara ini.

“Perairan Malaysia ini luas dan mereka boleh masuk tetapi yang penting kita dapat maklumat cepat dan kita bertindak untuk mengepung mereka. Jadi bila dapat kepung, mereka tidak dapat pergi ke mana-mana.

“Kita sedar bahawa lautan Malaysia ni luas dan kita tidak boleh berada di setiap tempat dalam masa 24 jam, itu mustahil. Apa yang penting sekarang biar polis buat kerja mereka agar kumpulan itu keluar dengan baik dan kita akan beri maklumat sepenuhnya bila sudah selesai nanti,” katanya.

Menurut Najib, kejadian akan berakhir kerana ia tidak mungkin berlanjutan selamanya dan kerajaan Filipina sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Pada Rabu lalu (13 Feb), pihak berkuasa keselamatan berjaya mengesan sekumpulan lelaki warga asing berpakaian ala tentera dan bersenjata api menceroboh masuk ke Lahad Datu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada Rabu berkata kumpulan berkenaan menceroboh masuk disebabkan masalah yang berlaku di selatan Filipina.

Beliau berkata, pihak keselamatan telah mengambil tindakan mengepung kawasan berkenaan dan mengarahkan kumpulan terbabit meletak senjata serta menyerah diri.

“Keadaan ini adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang,” katanya dalam kenyataan tiga perenggannya.

Menurut sumber polis, lebih 100 anggota kumpulan, disyaki kumpulan militan dari selatan Filipina, bersenjata lengkap dan berpakaian celoreng tentera telah mendarat di persisiran pantai Lahad Datu dengan menaiki bot pancung.

Bagaimanapun, setakat jam 10 malam pada Rabu lalu, pihak berkuasa keselamatan tidak dapat mengesahkan tujuan kumpulan itu sama ada merancang untuk melakukan aktiviti keganasan di bandar berkenaan.

Pihak berkuasa juga tidak dapat memastikan sama ada kumpulan berkenaan mempunyai kaitan dengan penahanan tiga lelaki termasuk bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat minggu lepas dan kematian seorang rakyat Malaysia Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, yang ditembak oleh pasukan keselamatan Filipina di Davao, selatan Filipina, 14 Disember lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu dan kemungkinan satu sidang media akan diadakan esok berhubung perkara itu.

Pada November lalu, seorang pengurus ladang kelapa sawit dan penolongnya dilaporkan diculik sekumpulan lima lelaki bersenjata dari sebuah ladang di kawasan pedalaman di bahagian pantai timur Sabah.