Ejen dan pengusaha umrah perlu faham peraturan semasa kerajaan Arab Saudi

0

NILAI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam meminta syarikat pengusaha dan agen pakej umrah agar memahami peraturan dan keperluan semasa kerajaan Arab Saudi dalam urusan pengeluaran visa umrah.

Katanya langkah ini penting bagi mengelak berlaku masalah jemaah terkandas berikutan masalah visa.

“Oleh itu, saya menasihatkan jangan kita (agen) keluarkan tiket dan sebagainya, atau pun jangan kita menguar-uarkan tarikh pemergian seseorang itu sehingga visa dapat dikeluarkan dengan pasti oleh pihak Kedutaan Arab Saudi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar semalam mengenai kekecewaan 130 peneroka dari Johor yang ingin menunaikan umrah ke Tanah Suci ‘terkandas’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di Kulaijaya semalam, setelah dimaklumkan penerbangan mereka dibatalkan, sebelum berlepas.

“Untuk itu, Tabung Haji telah diminta membantu supaya mereka yang menguruskan umrah ini mematuhi peraturan tersebut,” katanya menambah meskipun tarikh umrah dan tempahan kapal terbang telah dibuat, namun disebabkan masalah urusan pengeluaran visa, ia terpaksa dibatalkan.

Katanya beliau dimaklumkan bahawa kerajaan Arab Saudi kini sedang menjalankan proses pembaikan di peringkat dalaman Masjidil Haram.

“Jadi saya fikir mungkin ada kaitan dengan visa yang diperkemas dan diperketatkan. Perkara ini perlu diperjelaskan dengan betul,” katanya.

Jelas beliau kerajaan Arab Saudi mengenakan peratuhan khusus dalam urusan pengeluaran visa umrah kepada mereka yang ingin mengerjakannya.

“Visa adalah daripada pihak kerajaan Arab Saudi dan tidak melibatkan kerajaan Malaysia. Untuk visa umrah pula, ia dikeluarkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi dan melalui agensi-agensi yang menganjurkan aktiviti umrah. Jadi, agensi yang menganjurkan aktiviti umrah ini, ia melibatkan lesen daripada Kementerian Pelancongan.

“Bermakna kalau nak pergi melawat ke negara-negara yang memerlukan visa, ia perlu diproses dan agensi itu yang bertanggungjawab,” katanya.

Menurut beliau ramai yang keliru dengan perkara itu dan sering merujuk kepada Tabung Haji setiap kali berlaku masalah jemaah terkandas yang diuruskan syarikat umrah. — Bernama