Malaysia dijadikan contoh berkaitan urusan agama Islam: Jamil Khir

0

PUTRAJAYA: Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara yang boleh dicontohi dalam pelbagai urusan berkaitan agama Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“Kita sedari atau tidak, dunia sedang mengiktiraf kita terutamanya dalam pengurusan haji, bank Islam dan hab halal. Dunia meletakkan Malaysia sebagai tanda aras. Begitu juga berkaitan Ar-rahnu (pajak gadai Islam) dan Takaful Islam,” katanya Kepada pemberita selepas majlis perhimpunan agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini semalam.

Katanya Australia misalnya turut berminat mempelajari pendekatan sistem pentadbiran Malaysia yang mempunyai rakyat berbeza agama, adat dan budaya, namun hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Beliau juga meminta agensi agama di bawah JPM agar lebih cekap dan mantap dalam menyampaikan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak rakyat.

“Antara yang boleh diperkemaskan ialah hal berkaitan Mahkamah Syariah, kutipan dan agihan zakat seluruh Malaysia serta sekolah-sekolah agama di seluruh negara sama ada di bawah kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, swasta atau individu,” katanya.

Beliau berkata antara pencapaian membanggakan pada tahun lepas ialah pelancaran sistem persijilan halal Malaysia bagi produk farmaseutikal yang berpandukan standard Malaysia MS2424:2012, meminimumkan tempoh penyelesaian kes perceraian, pembangunan sistem e-Kiblat dan e-Pusara serta peningkatan mutu pengurusan dan perkhidmatan operasi haji. — Bernama