Senario menurun 70 peratus berbanding tahun sebelum

0
JANATHAN menunjukkan mercun dan bunga api yang berjaya dirampas dalam operasi baru-baru ini.

JANATHAN menunjukkan mercun dan bunga api yang berjaya dirampas dalam operasi baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas barangan seludup yang mencecah RM547,000 termasuk mercun bersempena serbuan dan Ops Letup III yang dilaksanakan pada 8 hingga 11 Februari lalu.

Operasi yang dijalankan sepanjang empat hari pada perayaan Tahun Baharu Cina dan melibatkan seluruh kawasan di negeri Sabah itu turut menyaksikan seramai 22 individu yang berusia 15 hingga 30 tahun ditahan kerana didapati bermain mercun.

Pengarah JKDM Sabah, Dr Janathan Kandok berkata daripada jumlah yang ditahan itu, 13 individu telah dikenakan kompaun kerana bermain mercun manakala enam lagi dikompaun kerana memiliki rokok serta minuman seludup.

Janathan berkata, pihaknya turut memperolehi kejayaan lain sepanjang Ops Letup III dilaksanakan pada tempoh berkenaan, iaitu rampasan membabitkan rokok dan minuman keras seludup di daerah Tawau dan Lahad Datu.

Katanya, jumlah keseluruhan kompaun yang dikenakan terhadap suspek yang bermain mercun ialah sebanyak RM27,400 manakala mereka yang memiliki rokok dan minuman keras sebanyak RM3,250.

“Sepanjang tempoh empat hari operasi yang dilakukan pada 8 hingga 11 Februari lepas, sebanyak 15 kes dicatatkan iaitu 13 daripadanya adalah kes tangkapan manakala selebihnya adalah kes rampasan.

“Nilai barang rampasan berjumlah RM9,000 dan cukai bagi barang yang dirampas adalah RM8,000,” katanya dalam sidang media di sini kelmarin.

“Selain itu, nilai rokok dan minuman keras yang dirampas pula ialah sebanyak RM530,000 manakala mercun mercun sebanyak RM17,000.

“Tiga buah kenderaan iaitu dua jenis Pajero dan sebuah jenis Proton Wira turut dirampas kerana didapati membawa rokok dan minuman seludup,” katanya.

Menurut beliau, JKDM Sabah telah mencatat penurunan sebanyak 70 peratus senario bermain bunga api dan mercun di seluruh Sabah yang disifatkan sebagai kejayaan bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

“Hasil tinjauan kita, didapati senario bermain bunga api dan mercun didapati berkurangan sebanyak 70 peratus berbanding tahun sebelumnya dan didapati tidak berleluasa.

“Penurunan itu dilihat terdorong beberapa faktor termasuklah respon daripada masyarakat setempat mengenai penguatkuasaan larangan bermain mercun, hebahan media serta kegiatan Kastam bersama agensi lain bagi membanteras kegiatan berkenaan,” katanya.