Tidak sempat terima BR1M

0
Herbert (dua kiri) dan Awadnir Matangal (kanan) menenangkan sambil menghulurkan bantuan kepada Dualis.

Herbert (dua kiri) dan Awadnir Matangal (kanan) menenangkan sambil menghulurkan bantuan kepada Dualis.

KOTA BELUD: Hasrat seorang pemuda untuk menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di sini, kelmarin tidak kesampaian apabila dia terkorban dalam satu kebakaran yang melibatkan dua rumah papan di Kampung Tokulung, kira-kira 22 kilometer dari sini.

Mangsa, Hisarat Mustah Sabdarin, 24, sebelum kejadian itu, ada memberitahu bapa angkatnya, Mango @Makmud Ambuyongos, yang tinggal bersamanya di Kampung Podi, lebih kurang tiga kilometer perjalanan ke Kampung Tokulung, bahawa dia akan ke rumah neneknya sebelum ke pekan untuk menerima BR1M pada hari esoknya.

Mango memberikan kebenaran kepada mangsa untuk berbuat demikian. “Tetapi saya sangat terkejut dan merasa sedih sekali apabila saya mendapat tahu bahawa Mustah terkorban dalam satu kebakaran di rumah neneknya (Dualis Gompus, 79) pada waktu pagi,” katanya.

Pakcik mangsa, Saulih Ginsing, 54, berkata kira-kira jam 4 petang pada Khamis, mangsa sampai di Kampung Tokulung, tetapi pada malamnya dia ada bersama-sama beberapa rakan di perumahan seberang sungai tidak jauh daripada rumah neneknya.

Menurutnya, mangsa telah pulang ke rumah neneknya kira-kira jam 10 malam untuk mengecas bateri telefon bimbit, pada malam kejadian itu.

Katanya, mereka yang tinggal tidak jauh dari lokasi kejadian dikejutkan oleh suara jiran meminta tolong kira-kira jam 1.30 pagi Jumaat.

“Saya dan beberapa orang jiran terus bergegas ke tempat kejadian, tetapi kami tidak menyangka mendiang turut terbakar. Saya fikir mendiang cuba menyelamatkan dirinya memandangkan mayatnya terletak di pintu ruangan kaki lima untuk keluar, tetapi ditindih beberapa batang kayu yang terbakar,” katanya.

Menurut Dualis, beliau pada ketika itu berada di rumah saudaranya yang lain, manakala mendiang pula hanya tinggal seorang diri di rumah.

Dualis juga telah diberitahu oleh mangsa bahawa dia akan pergi menerima bantuan BR1M pada hari esoknya (Jumaat).

Katanya, walaupun beliau dan anaknya kehilangan dua buah rumah dan harta benda termasuk wang RM2,500 untuk pembersihan 10 ekar ladang getah, tetapi beliau lebih menyayangi mangsa yang sentiasa menghiburkan hatinya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian, Datuk Herbert Timbon Lagadan dan dan beberapa orang kenamaan lain telah hadir untuk menghulurkan bantuan.

Seramai empat anggota Bomba dan Penyelamat yang diketuai oleh Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran Bomba Sabah, Jemros Olin, berada di tempat kejadian kelmarin untuk menjalankan siasatan.

Jemros berkata, punca kebakaran dan kos kerugian kedua-dua rumah berkenaan sedang dalam siasatan.