Lee raih hadiah utama cabutan bertuah Ngu Chung Beng & Sons

0

SIBU: Lee Ee Fang dari Sarikei memenangi hadiah utama cabutan bertuah anjuran Ngu Chung Beng & Sons Corporation Sdn Bhd (NCBSC) berlangsung pada 7 Julai 2012 hingga 15 Februari tahun ini.

Beliau memenangi sebuah kereta Perodua MyVi 1.3 dengan transmisi manual setelah mendapatkan perkhidmatan servis kereta di NCBSC.

Hadiah dituntut oleh adiknya, Lee Jing Heng yang disampaikan oleh Pengarah Urusan NCBSC, Peter Ngu Ung Yong pada satu majlis di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Eksekutif NCBSC, Esther Kong Sing Kiu.

Sementara hadiah kedua berupa sebuah motosikal JCM110 dimenangi oleh Zarina Abdullah @ Tingang Jayang, diikuti hadiah ketiga berupa televisyen LG 42’ dimenangi Norazmah Azmi.

Tiga hadiah sagu hati berupa baucar bernilai RM1,000 dimenangi oleh Tegong Bali, Wong Teck Boon dan Tiong Kuok Sheng. Tiga lagi hadiah sagu hati berupa baucar bernilai RM500 dimenangi oleh Cornelius Nul, Anna Kong Siew Kiong dan Juana Jack.

Menurut Esther, cabutan bertuah itu terbuka kepada semua pelanggan yang membeli kenderaan baharu, alat ganti, minyak pelincir, aksesori, servis dan penyelenggaraan kenderaan di NCBSC.

Selain itu, katanya, pelanggan yang memperbaharui insurans dan juga calon yang menduduki ujian memandu dengan NCBSC layak menyertai peraduan ini.

“Ini termasuk pelanggan yang membuat pembelian bernilai RM200 ke atas dari kami juga layak untuk turut serta,” katanya kepada pemberita selepas membuat cabutan bagi menentukan pemenang, semalam.

NCBSC yang terletak di Jalan Salim di sini merupakan pengedar utama kenderaan Perodua di samping kenderaan Ford, Suzuki dan Chery.