Rakyat dinasihat bijak pilih kerajaan pada PRU13

0

SIBU: Rakyat yang menjadi penentu masa depan kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang dinasihatkan agar lebih bijak memilih kerajaan yang membela nasib dan masa depan mereka.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun berharap rakyat perlu meneruskan sokongan kepada kerajaan bagi memastikan kemajuan dan pembangunan dapat diteruskan.

“Pilihan yang bijak menjamin masa depan generasi muda kita. Fikirkan masa depan anak-anak kita sebelum membuat pilihan pada PRU13 akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Selangau menjelaskan, rakyat sebagai penilai sebenar pucuk pimpinan kerajaan di peringkat akar umbi lebih jelas akan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Siapa yang boleh kita percaya? Orang yang kita percaya itulah orang yang boleh pimpin kita dan membela nasib rakyat dan bukan berjanji kosong seperti pihak pembangkang.

“Apa yang mereka (pembangkang) lakukan hanya menghasut serta meracuni fikiran rakyat. Pembangkang hanya mementingkan agenda politik sahaja tanpa mengira keperluan dan kehendak rakyat,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Albert Tegap, Batu 13, Jalan Sibu-Bintulu, Selangau baru-baru ini.

Katanya, kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah membuktikan kecemerlangan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Polisi kerajaan BN jelas dan nyata. Dasar kerajaan BN adalah meletakkan keperluan dan kebajikan rakyat sebagai perkara utama dalam melaksanakan agenda pembangunan negara.

“Oleh itu, rakyat mesti meneruskan sokongan mereka dalam PRU Ke-13 yang akan datang kepada kerajaan bagi memastikan kemajuan dan pembangunan yang berterusam,” jelasnya.

Pada majlis yang sama, Entulu turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Albert Tegap.

Selain itu, Ahli Parlimen Selangau itu turut menyampaikan geran berjumlah RM3,000 kepada Biro Wanita JKKK Rumah Albert Tegap.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Joseph Mauh Ikeh, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Bahagian Sibu/Mukah Awang Julaihi Awang Ali Bohan, Pemanca Stanley Geramong, Penghulu Richard Ampi dan Penghulu Jerampang Ratoh.