Bekas pelajar Kolej Poly Tech MARA dikhuatiri lemas

0

KOTA BAHARU: Seorang bekas pelajar Kolej Poly Tech MARA (KPTM) Kota Baharu, dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Kelantan ketika menunggang motosikal di pelantar pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra, di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Muhammad Arief Muhammad Nordin, 20, dikatakan tergelincir sebelum ia tercampak ke dalam sungai tersebut pada kira-kira jam 5.30 petang.

Menurut saksi yang juga rakan rapatnya, Mohd Amir Fadzli Mohd Rosni, 19, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan untuk menemuirakannya yang berjanji untuk mengambil gambar sebagai kenangan di kawasan jambatan itu.

“Saya terkilan kerana gagal membantu menyelamatkan Muhammad Arief yang meminta tolong ketika ia terjatuh ke dalam sungai itu, manakala motosikal yang ditunggang mangsa terbalik di atas pelantar pembinaan jambatan itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Amir Fadzli berkata ketika menunggang motosikal itu, kaki mangsa dipercayai tersepit di celah pelantar itu menyebabkan dia terjatuh sebelum terpelanting ke dalam sungai itu.

Gerakan mencari yang dilancarkan anggota pasukan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sejak petang kelmarin masihbelum menemui mangsa.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Zainal Fitri Hussin,  berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai mengenai kejadian itu jam 5.40 petang kelmarin. — Bernama