Sederet lapan gerai MDKP musnah terbakar

0

KUALA PILAH: Sederet lapan buah gerai di kawasan bazar kendalian Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) di sini musnah dalam kebakaran awal semalam.

Kebakaran itu berlaku pada kira-kira jam 12.30 pagi dan kebanyakan gerai yang terlibat menjalankan perniagaan menjual barangan plastik, andaman sertagerai menjual makanan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Jafaar Yusuf berkata tiga jentera dari Kuala Pilah, Bahau dan Tampin bersama 16 anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada jam 12.53 pagi.

“Kita mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengawal api dari terus merebak ke gerai berdekatan. Kesemua gerai itu musnah namun tiada kecederaanatau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Operasi memadamkan kebakaran ditamatkan pada jam 3.25 pagi. Sehingga kini pihak kami masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami parapemilik gerai itu,” katanya ketika dihubungi semalam. — Bernama