Sumber Rejeki Wonderful pilihan terbaik jamu selera

0

SIBU: Pelbagai hidangan serta suasana tempat yang menenangkan menjadi faktor utama Sumber Rejeki Wonderful menjadi pilihan terbaik penduduk di bandar Sibu di sini.

Premis perniagaan tersebut yang dibuka seawal jam 5 petang sentiasa dipenuhi pengunjung dan paling ironik masyarakat majoriti Cina kelihatan memenuhi ruang premis di Sungai Merah Commercial Center Wonderful bagi menikmati pelbagai keunikan masakan Muslim halal.

Wartawan Utusan Borneo meninjau suasana Sumber Rejeki Wonderful yang kini terus mendapat tumpuan masyarakat luar dan dalam Sibu malah berkesempatan menemui beberapa pengunjung yang datang menjamu selera di situ.

Iskandar Joni, 32, beranggapan premis makanan berkenaan adalah contoh destinasi pelancongan makanan yang harus diwujudkan lebih banyak lagi khususnya di bandar Sibu memandangkan potensi pelancongan serta kebanjiran pelancong yang hadir di sini.

“Rugi kalau tidak datang ke sini. Premis ini menyediakan pelbagai keunikan dan pilihan makanan yang pelbagai untuk dijadikan santapan perut yang lapar mahupun masa santai bersama sahabat handai dan ahli keluarga. Paling romantik kalau yang sedang dilamun cinta.

“Antara pilihan utama saya di sini pisang goreng keju, maggi goreng KL style, laksa Sarawak special, laksa Penang, nasi beriani gum Johor dan banyak lagi.

“Kalau boleh peniaga di sini tambah menu simbolik utama Sibu iaitu mi kampua dan produk makanan berasaskan kompia.

Iskandar turut menambahkan, peniaga Sumber Rejeki Wonderful sentiasa menghasilkan suatu menu hidangan yang berlainan untuk hari tertentu sebagai satu tarikan pengunjung di sini malah harga yang ditetapkan sebaik-baiknya berpatutan dan bersesuaian dengan kualiti serta rasa makanan yang dijual.

“Semua kelompok masyarakat berkemampuan datang menikmati dan merasai setiap menu yang ada. Tambahan memang memenuhi cita rasa orang kita,” jelas beliau.

Seorang lagi pengunjung yang mahu dikenali sebagai Ling berkata dia akan berkunjung ke Sumber Rejeki Wonderful dalam tiga atau empat kali seminggu.

“Saya amat suka tempat ini kerana makanan yang dijual memang sesuai untuk semua bangsa di Sarawak.

“Malah hampir keseluruhan jenis makanan utama di Malaysia wujud di sini dengan kombinasi ilham masakan baharu untuk santapan pengunjung yang hadir,” kata Ling.

“Bubur di gerai Maharaja Sup pilihan utama saya kerana rasa bubur yang dijual amat memenuhi cita rasa saya walaupun peniaga adalah Melayu.

“Ternyata Sumber Rejeki Wonderful menggunakan konsep 1Malaysia melalui cara sebegini dan menjadi satu faktor menjadi tumpuan ramai.

Melihat kepada persekitaran premis ternyata suatu tempat yang sungguh menenangkan dan terhindar daripada segala bunyi bising mahupun pencemaran serta berdekatan dengan pelbagai kemudahan lain seperti parkir kereta yang teratur, gedung beli-belah, pusat hiburan dan lain-lain.

“Sumber Rejeki adalah pilihan terbaik bagi seisi keluarga kerana mempunyai suasana tenang, susun atur ruang tempat duduk yang teratur dan kemas serta kemudahan lain sangat memuaskan pengunjung yang hadir.

“Malah, rasanya memang terbaik dan sangat berbaloi untuk perbelanjaan bagi yang sudah berkeluarga khususnya,” kata Rosita Openg.

Rosita turut berharap agar pihak pengurusan dapat melaksanakan satu perubahan dari segi kemudahan seperti sinki tempat basuh tangan serta perkhidmatan tandas orang awam yang terletak agak jauh dari premis, selain suasana gelap yang mungkin membahayakan pengunjung atau berlaku perkara yang tidak diingini.

“Secara keseluruhan Sumber Rejeki Wonderful adalah terbaik sebagai destinasi pelancongan makanan yang harus dikunjungi oleh orang Sibu mahupun luar Sibu,” jelas Rosita.