Jangan percaya dan terpedaya

0

KOTA KINABALU: Polis meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan berita palsu kononnya berlaku rusuhan di Kota Kinabalu ekoran kejadian pencerobohan sekumpulan warga asing bersenjata di Lahad Datu, yang belum selesai sehingga kini.

Berita palsu itu disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan mendakwa akan berlaku rusuhan oleh masyarakat berbangsa Suluk di daerah Kota Kinabalu, Keningau dan Lahad Datu pada jam 1 pagi kelmarin.

Kandungan SMS itu turut mendakwa ia disahkan oleh seorang pegawai polis yang bertugas di Semenanjung Malaysia dan kelmarin, laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah telah mengesahkan ianya merupakan berita palsu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh laman Facebook PDRM Sabah, keadaan keselamatan adalah terkawal selain memberi amaran kepada pihak yang didapati menyebarkan berita palsu ini akan diambil tindakan oleh pihak polis.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, menasihatkan orang ramai terutamanya penduduk di bandaraya agar tidak panik akan hebahan berita palsu itu.

Beliau turut menggesa pihak yang bertanggungjawab segera menghentikan tindakan itu kerana ia mampu mencetuskan suasana panik di kalangan penduduk setempat.

“Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammudin Tun Hussien telah mengeluarkan kenyataan agar rakyat di negeri ini tidak terburu-buru mempercayai khabar angin berhubung kes di Lahad Datu dan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab menyebarkannya boleh dikenakan tindakan tegas.

“Tiada sebarang insiden berlaku seperti mana didakwa dalam berita palsu di Bandaraya Kota Kinabalu seperti yang disebarkan melalui SMS terbabit.

“Oleh itu, saya meminta kepada mana-mana pihak yang bertanggungjawab mengenai berita palsu ini, segera menghentikan perbuatan mereka kerana keadaan kita adalah selamat dan aman seperti biasa,” katanya ketika dihubungi kelmarin.