Pelajar digalak rebut peluang

0
Dompok menyerahkan sijil dan cek kepada Raffael (depan) yang ditemani datuknya.

Dompok menyerahkan sijil dan cek kepada Raffael (depan) yang ditemani datuknya.

PENAMPANG: Para pelajar digalakkan mengambil peluang pembelajaran di sekolah sebagai medan meneroka potensi ke tahap maksimum dan melalui transformasi pembelajaran sebagai proses bermakna dan menggembirakan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Giluk Dompok berkata demikian kepada 69 pelajar cemerlang sekolah angkat Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mapim), yang mencapai keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) 2012.

“Pada era globalisasi ini, para pelajar harus sanggup menghadapi cabaran baru dalam dunia pendidikan yang sering berubah.

“Peranan pelajar kini semakin mencabar dalam usaha membina diri menguasai banyak bidang ilmu, sejajar menjadikan bangsa Malaysia maju pada abad ini,” katanya.

Beliau juga menasihatkan dalam keghairahan menimba kecemerlangan akademik, para pelajar tidak harus lupa aspek kerohanian, akhlak dan kewarasan fikiran.

“Setiap individu perlu berperanan menjana kecemerlangan itu berlandaskan akal budi yang luhur,” katanya dan menambah, adat budaya peninggalan generasi terdahulu perlu dipupuk dan diamalkan.

Terdahulu itu, Dompok berkata kerajaan pada masa kini telah menyediakan pelbagai bantuan pendidikan untuk meningkatkan mutu pendidikan negara.

“Negeri Sabah tidak terkecuali dalam hal ini. Sabah menerima peruntukan yang banyak untuk membangunkan infrastuktur sekolah luar bandar dan bandar.

“Oleh itu, kita perlu mengambil manfaat ini sepenuhnya dengan melakukan transformasi pendidikan bagi menjadikan negeri Sabah maju menjelang 2020,” katanya dan menambah, bagi melahirkan pelajar cemerlang, warga pendidik telah merancangkan dan melaksanakan pelbagai program.

Sementara itu, salah seorang pelajar SM St Michael yang menghidap penyakit Spina Bifida sejak dilahirkan, Raffael Robert, 16, dari Kampung Kambau, merupakan salah seorang pelajar yang menerima anugerah cemerlang berkenaan.

Raffael yang ditemani oleh datuknya Jolison Muda, menyatakan dia bercita-cita ingin menjadi seorang peguam pada masa hadapan.

Dia merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik, yang mana kakaknya melanjutkan pelajaran di Sarawak manakala abangnya turut mencapai keputusan 7A dalam PMR dan sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam pada itu, seramai lima pelajar dari SMK Sg Damit Tamparuli, 13 pelajar dari SMK Bundu Tuhan Ranau, dan 51 pelajar dari SM St Michael Penampang, yang merupakan sekolah angkat Mapim mendapat anugerah cemerlang berkenaan.