Pelaksanaan DBN kukuhkan industri bioteknologi negara

0

KOTA KINABALU: Pelaksanaan fasa kedua Dasar Bioteknologi Negara (DBN) menyaksikan pelbagai perkembangan serta pencapaian positif dalam mengukuhkan industri bioteknologi di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili berkata menerusi fasa kedua DBN, kerajaan akan meningkatkan usaha menjadikan bioteknologi sebagai enjin baru pertumbuhan ekonomi dengan memfokuskan kepada pengkomersilan hasil bioteknologi.

Menurutnya, di bawah Program Transformasi Bioekonomi (BTP) yang dilancarkan Oktober tahun lepas, ia mensasarkan interaksi awam dan swasta dalam membangunkan dan meneroka peluang berimpak tinggi bidang bioteknologi.

Katanya, program berkenaan turut meningkatkan pelaburan sektor swasta dan mengurangkan kebergantungan industri kepada dana awam.

“Di bawah BTP, kerajaan mensasarkan untuk menjana pendapatan sebanyak RM3.6 bilion dan menarik pelaburan sebanyak RM10 bilion.

“Selain itu, kita juga bakal mewujudkan sebanyak 16,300 pekerjaan berkemahiran tinggi melalui pelaksanaan 20 projek pencetus yang dikenal pasti memaksimumkan potensi yang belum diterokai oleh ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Bio-Borneo 2013 anjuran kementeriannya bersama Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) di sini kelmarin.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang diwakili oleh timbalannya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.

Maximus berkata, platform berkenaan dijangka dapat mengukuhkan lagi kesan terhadap penggandaan ekonomi negara.

Ia sekaligus meletakkan Malaysia dalam pasaran bioteknologi global yang dianggarkan akan mencapai kira-kira RM971 bilion (USD 321 bilion) menjelang 2015.

Selain itu katanya, penganjuran Bio-Borneo adalah landasan terbaik untuk mengetengahkan pembangunan industri bioteknologi serta usaha kerajaan negeri untuk menjadi peneraju bioekonomi negara.

“Sabah sememangnya mempunyai kesemua ciri dan beberapa kelebihan yang sesuai dengan pembangunan ekonomi yang lestari dan berimpak tinggi berasaskan bioteknologi dan kegunaan sumber alam semulajadi.

“Aplikasi proses bioteknologi untuk sumber genetik di Borneo menawarkan potensi yang hebat untuk proses penciptaan kekayaan di Sabah.

“Sabah juga boleh menjana sumber pertumbuhan baru dan menjadi tunjang untuk Malaysia menjadi hab teknologi global,” katanya.

Bio-Borneo yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin disertai lebih 200 peserta daripada pelbagai agensi dan jabatan.

Selain persidangan berkaitan bioteknologi, ia turut menyediakan gerai-gerai pameran yang dibuka untuk orang ramai di Grandballroom Magellan Sutera Harbour Resort.