Kebajikan veteran ATM terus dibela

0
BANTUAN: Tiong (tiga kanan) menyampaikan baucar bantuan kepada veteran ATM yang tidak berpencen sambil diperhatikan oleh (dari kiri) Mundaw, Lau, Zulkiflee dan Ling di Sibu semalam.

BANTUAN: Tiong (tiga kanan) menyampaikan baucar bantuan kepada veteran ATM yang tidak berpencen sambil diperhatikan oleh (dari kiri) Mundaw, Lau, Zulkiflee dan Ling di Sibu semalam.

SIBU: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diharap dapat memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah mencicirkan tanggungjawab membela kebajikan tentera di samping pembangunan negara dijalankan.

Ahli Parlimen Lanang, Datuk Tiong Thai King menyeru veteran ATM agar sekali lagi memberi sokongan sepenuhnya kepada kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan datang.

“Pelbagai insentif yang diberikan kepada pegawai, anggota serta pesara tentera dalam Bajet 2013 adalah simbol pengiktirafan kerajaan terhadap jasa dan sumbangan anggota ATM.

“Sumbangan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM234.5 juta. Ini menunjukkan golongan tentera tidak pernah diabaikan seiring dengan arus pembangunan negara,” katanya pada Majlis Penyerahan Baucar RM1,000 kepada Veteran ATM Tidak Berpencen dan Majlis Penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Dewan Suarah di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan, Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Datuk Stephen Mundaw, Temenggung Vincent Lau Lee Ming serta Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS), Thomas Ling Kui Eng.

Pada majlis itu, seramai 22 veteran ATM menerima PJM sementara 398 veteran tentera tidak berpencen menerima bantuan ‘one off’ sebanyak RM1,000.

Tiong yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) berkata, jasa dan pengorbanan yang dicurahkan anggota ATM tidak pernah dilupakan dan sebagai menghargai bakti yang dicurahkan, kerajaan sentiasa memastikan kebajikan tentera terjamin.

“Keadaan negara yang selamat dan tenteram membolehkan kerajaan melaksanakan pembangunan negara yang dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

“Janganlah kita cuba melupakan jasa anggota tentera yang berbakti menjaga keamanan negara dan keadaan itu penting untuk kita mencapai status tahap negara maju menjelang tahun 2020,” katanya.

Di samping itu, ujar Tiong, masyarakat pada hari ini tidak harus mengambil enteng akan peranan anggota tentera disamping tiadanya minat untuk mengetahui kisah perajurit serta sejarah negara.

“Keamanan dan keharmonian dikecapi hari ini bukans ekadar hasil daripada tonggak kepimpinan negara, malah merupakan pengorbanan anggota ATM tanpa mengira siang atau malam, tidak kenal erti penat lelah demi menjaga serta mempertahan kemerdekaan yang dikecapi selama 56 tahun ini,” jelas beliau.

Menurut Tiong, tahun 2013 telah bermula dan kini adalah masa untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab sama ada oleh pemimpin kerajaan, ketua-ketua jabatan dan parti bagi menjayakan agenda transformasi negara yang berlangsung sejak beberapa tahun lalu.

“Impak usaha itu membawa kesan positif bagi meningkatkan taraf hidup pelbagai lapisan rakyat sekali gus menjayakan cita-cita nasional dan harapan Perdana Menteri agar dapat menyentuh hati setiap masyarakat di negara ini,” katanya.