Penunggang Motosikal Maut Dilanggar Lari

0

TAWAU: Seorang penunggang motosikal berkuasa besar meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terbabit dalam kes kemalangan langgar lari di Jalan Kinabutan Tiku di sini kira-kira jam 7.50 pagi kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah, mangsa dikenali sebagai Hiew Wei Khen, 42, dan beralamat di Batu 13 Jalan Apas menunggang motosikal jenis Suzuki Superbike bernombor pendaftaran MBE 74.

“Berdasarkan kesan kemalangan yang terdapat di lokasi kejadian, kita mengesyaki kenderaan yang terlibat di dalam insiden ini berwarna hijau metalik kerana terdapat serpihan warna itu di sekitar kawasan terbabit,” katanya.

Awang berkata, mayat lelaki itu telah dituntut oleh ahli keluarganya dan berdasarkan laporan daripada pihak hospital, mangsa disyaki meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa dipercayai menunggang motosikal dari arah Kinabutan menghala ke tempat kerjanya di Batu 3 Jalan Apas sebelum bergesel dengan sebuah kenderaan yang tidak diketahui jenis dan nombor pendaftarannya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kita menggesa agar saksi kejadian dapat menghubungi pihak polis ataupun berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Lahamad Saleng di talian 089-772121,” katanya.