BN letak calon, dasar terbaik

0
BERSEMANGAT TINGGI: Najib dan Taib bersama pemimpin-pemimpin kanan BN negeri pada sesi perjumpaan di Kuching, semalam sebelum Perdana Menteri berangkat ke Kuala Lumpur.

BERSEMANGAT TINGGI: Najib dan Taib bersama pemimpin-pemimpin kanan BN negeri pada sesi perjumpaan di Kuching, semalam sebelum Perdana Menteri berangkat ke Kuala Lumpur.

Rakyat Sarawak kini lebih yakin dasar transformasi dilaksanakan kerajaan: PM

KUCHING: Barisan Nasional (BN) akan mengetengahkan calon terbaik berserta gabun­gan dasar transformasi dalam usaha mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat Sarawak kini kelihatan lebih yakin dengan dasar transformasi kerana rakyat menjangkakan masa depan mereka lebih terjamin di bawah pimpinan BN.

“Kita akan meletakkan calon terbaik dengan gabungan dasar yang baik.

“Penerimaan calon pun kita kena ambil kira supaya rakyat senang hati dengan calon yang diletak BN,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan dengan pemimpin BN negeri di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Menurut Najib, lawatan beliau ke Sarawak kali ini amat meng­galakkan dan rakyat yakin dasar transformasi dibawa BN boleh men­guntungkan dan menjamin masa depan yang jauh lebih baik.

Katanya, berdasarkan sambu­tan kian bertambah sepanjang lawatan ke negeri ini selama tiga hari mulai Rabu lalu, dasar trans­formasi mengutamakan rakyat akan membolehkan calon-calon diketengahkan BN diterima baik oleh rakyat.

Sambil puas hati dengan tahap persiapan dilakukan BN negeri, Perdana Menteri berkata rakyat bakal menerima manfaat berterusan jika BN kekal memerintah.

Sarawak, katanya, dengan sokon­gan Taib dan kerajaan negeri, mampu menikmati perubahan yang lebih besar.

Mengulas mengenai calon BN di Sarawak, beliau berkata ia hampir dimuktamadkan.

Berkenaan calon terus BN beliau berkata: “Tunggu dan lihat, saya tak mahu umumkan terlalu awal.”

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dijangka bertanding di 14 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) lima kerusi, mana­kala Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masing-masing enam dan empat kerusi.

Sementara itu, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Man­sor berlepas pulang ke ibu negara melalui terminal VVIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada kira-kira jam 11.20 pagi semalam.

Turut berada di lapangan ter­bang mengucapkan selamat jalan ialah Ketua Menteri dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu serta menteri-menteri kabinet persekutuan dan negeri.

Najib memulakan lawatan sempe­na Tahun Baharu Cina ke negeri ini dengan merasmikan SJK (C) Chung Hua Tudan dan menghadiri majlis makan malam bersama komuniti Cina di Miri pada Rabu.

Keesokannya, Perdana Menteri menghadiri Majlis Pemimpin Ber­sama Rakyat di Masjid Kampung Beladin dan menyampaikan Ban­tuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta Elaun Sara Hidup Nelayan.

Seterusnya, beliau menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Padang KPS Lama Sri Aman, manakala pada sebelah malam, memeriahkan Makan Malam Per­paduan Pra Chap Goh Meh di Bandar Baharu MJC di sini.

Lawatan Najib diakhiri dengan perjumpaan bersama pemimpin BN negeri, pagi semalam.