Polis Perak adakan latihan pilihan raya

0

IPOH: Orang ramai diminta tidak cemas dengan kehadiran ramai anggota polis di kawasan awam di negeri ini pada Ahad dan Isnin ini kerana pasukan keselamatan itu akan mengadakan Latihan Amali Ex-Ballot III sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata latihan itu melibatkan seramai 500 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman serta 3,500 anggota Polis Kontingen Perak.

“Latihan ini meliputi 15 daerah di Perak dan saya harap ia tidak akan menimbulkan ketakutan kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, terdapat jalan tertentu yang akan ditutup dan sekatan jalan raya juga akan dilakukan ketika latihan itu berlangsung.

Katanya, latihan itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada petugas di Pusat Kawalan Polis Kontinjen dan Pusat Kawalan Daerah dalam aspek pengurusan.

“Kita juga akan memberikan pendedahan mengenai aplikasi Sistem Maklumat Pusat Kawalan dan Sistem Maklumat Pilihan Raya kepada semua petugas di pusat kawalan,” katanya.

Mohd Shukri berkata selain itu ia juga bagi mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan yang berlaku semasa latihan amali itu dalam aspek pengurusan, logistik dan sumber manusia seperti kecekapan dan kemahiran petugas.

“Latihan ini juga bagi menguji masa tindak balas dari segi pergerakan  serta tindakan yang diambil secara bersepadu oleh unit-unit PDRM peringkat kontingen dan daerah bagi menghadapi dan menangani isu-isu ketenteraman awam,” katanya. — Bernama